PM akui kecewa ada rakan kabinet UMNO tidak dicalonkan semula

Ismail Sabri berucap pada majlis perasmian Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Selangau WPC08 hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri berucap pada majlis perasmian Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Selangau WPC08 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SELANGAU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui berasa agak kecewa sebelum ini apabila ada rakan dalam kabinet beliau daripada UMNO tidak dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO itu berkata, biarpun tidak terpilih, ada dalam kalangan mereka masih kekal setia bersama parti dan bersedia memastikan kemenangan BN pada PRU15.

"Jasa mereka kita tidak akan lupa lebih-lebih lagi apabila mereka tak dapat bertanding, mereka tidak menentang parti.

"Saya sendiri pun berasa agak kecewa apabila rakan yang merupakan calon boleh menang dan berjasa kepada parti tidak dapat bertanding,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di sini hari ini.

Empat menteri kabinet UMNO yang tidak dicalonkan semula ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamad Saddique.

Shahidan mengambil keputusan bertanding sebagai calon Perikatan Nasional-Pas untuk mempertahan kerusi Parlimen Arau yang dimenanginya dalam PRU14.

Ditanya jika mereka yang tidak dicalonkan semula dan membuktikan kesetiaan kepada parti akan dilantik memegang peranan penting jika BN menang, Ismail Sabri berkata: "Beri kita kemenangan dulu dan kita akan buat keputusan selepas itu.” - Bernama

Artikel Berkaitan:



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!