PRU15: ABIM bantu belia pulang mengundi
SHAH ALAM - Anak muda dan golongan belia yang masih belum mendapat tiket balik mengundi pasti boleh menarik nafas lega apabila program Tampung Tambang Balik Mengundi digerakkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Setiausaha Agungnya, Fazril Saleh berkata, inisiatif rakyat bantu rakyat balik mengundi saat akhir itu merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi membantu anak muda yang bersemangat untuk balik mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetapi berhadapan dengan kekangan.
Katanya, bukan sahaja tiket bas ekspres ke destinasi-destinasi utama di negara sudah habis dijual sejak beberapa minggu lalu, masalah kewangan juga membantutkan hasrat belia untuk mengundi.
"Apabila mengetahui sahaja permasalahan tiket bas yang sudah habis di pasaran, ABIM bersama beberapa rakan gabungan berusaha mencari jalan penyelesaian isu yang dilihat penting ini kerana ia melibatkan tanggungjawab kepada negara untuk memilih pemimpin.
"Kami berusaha mencari syarikat perkhidmatan bas bagi membawa pulang anak muda mengundi di kampung halaman dan akhirnya kami mendapat bantuan daripada Sekretariat Gabungan Bas Malaysia yang sudi menyediakan bas persiaran dengan kadar sewaan yang agak murah.
"Sebanyak 11 buah bas persiaran akan terlibat dalam menjayakan program Tampung Tambang Balik Mengundi ini di 11 laluan ke beberapa destinasi utama di utara, selatan dan pantai timur," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Deklarasi PRU15: Membina Karakter Bangsa yang diadakan di Media Karangkraf di sini pada Isnin.
Apa yang menarik untuk program itu, Fazril berkata, anak muda yang berminat hanya perlu membayar RM10 untuk perjalanan dua hala ke destinasi masing-masing.
Jelasnya, pembayaran minimal itu sebagai tanda komitmen mereka menyertai program tersebut, selain memastikan ia bukan perkara yang boleh diambil kesempatan.
Tambahnya, bas terakhir untuk anak muda itu terbuka kepada semua golongan belia dan ia bukan tertumpu kepada kumpulan pelajar di institusi pengajian tinggi sahaja.
Selain itu menurutnya, peluang tersebut juga terbuka kepada mereka yang tiada kenderaan untuk pulang ke kampung halaman.
"Individu yang ingin memohon menyertai program ini perlu memberi justifikasi kenapa dia perlu mendapat tiket Tampung Tambang Balik Mengundi kerana kita mahu memastikan mereka yang layak dan benar-benar memerlukan diberi keutamaan.
"Anak muda boleh membuat permohonan di laman web kami di MyUndi.info dan perjalanan pulang akan dilakukan pada 18 November jam 9 malam dari KL Sentral," katanya.
Ditanya mengenai kos melibatkan 11 buah bas tersebut, Fazril berkata, pihaknya memerlukan perbelanjaan sebanyak RM42,000 untuk perjalanan dua hala di 11 destinasi ke seluruh negara.
Namun begitu katanya, ABIM pada masa ini hanya mempunyai RM10,000 hasil kutipan daripada rakan-rakan bagi membuat pembayaran deposit bas.
Oleh yang demikian menurutnya, dia sangat berharap orang ramai dapat membantu menghulurkan sumbangan supaya program itu memberi manfaat kepada golongan belia yang memerlukan, namun lebih penting menunaikan tanggungjawab kepada negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!