PN mahu ramai keluar mengundi, yakin menang PRU15
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mahu pengundi keluar mengundi beramai-ramai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini bagi memastikan kemenangan calon gabungan tersebut.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat 10 hari berkempen, majoriti pengundi sudah tidak sabar untuk keluar mengundi terutamanya pengundi pertama kali dan pengundi muda.
Katanya, dengan tawaran manifesto menarik yang dibuat PN, penerimaan rakyat sangat baik dan mahu momentum tersebut diteruskan sehingga ke garisan penamat.
“Saya akui kami (PN) hadapi cabaran besar tetapi kita yakin sebahagian besar pengundi akan menyokong PN. Saya mahu 100 peratus keluar mengundi. Kalau tak dapat seratus peratus, dapat 90 atau 95 peratus pun boleh.
“Kalau jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN), tahulah musibahnya, begitu juga kalau jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH), kena ingat pemerintahan 22 bulan mereka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN di sini pada Isnin.
Ditanya mengenai keyakinannya bertanding di Parlimen Pagoh, Muhyiddin berkata pengundi di Parlimen itu sudah mengenalinya dan tahu memilih pemimpin yang akan mewakili mereka.
“Saya di sana (Parlimen Pagoh) dah lama, lebih dari 40 tahun. Orang Pagoh tahu apa yang saya buat di sana selama ini. Saya yakin akan dapat teruskan tanggungjawab saya di Pagoh,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkenaan isu kerusi Parlimen Beluran dan Muhyiddin tidak faham mengenai politik Sabah, beliau berkata, pandangan itu adalah tidak tepat.
“Saya sudah terlibat dengan politik Sabah lebih dari 40 tahun, bukan sebagai pemerhati. Saya rasa saya seorang veteran (mengenai politik Sabah).
“Jika ada orang kata saya tidak faham politik Sabah, saya rasa itu pandangan tidak tepat. Sebab itu ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya wujudkan jawatankuasa khas untuk Sabah dan Sarawak untuk tangani isu-isu melibatkan dua negeri ini,” katanya.
Katanya lagi, beliau juga mempertahankan tindakan Datuk Seri Ronald Kiandee bertanding di Parlimen Beluran atas tiket PN kerana pemimpin itu adalah Naib Presiden Bersatu dan kerusi tersebut memang milik parti itu.
Mengikut perjanjian, GRS bersetuju BN yang sepatutnya bertanding di Beluran memandangkan kerusi itu dimenangi gabungan itu pada 2018. Kerusi berkenaan bertukar tangan selepas Kiandee berpaling tadah dan menyertai Bersatu pada penghujung tahun sama.
Tindakan Kiandee bertanding turut menerima kecaman Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata, PN cuba merosakkan perjanjian GRS-BN dengan membenarkan bekas Ahli Parlimen Beluran itu bertanding di kerusi itu.
Sebelum ini, Ronald berkata Bersatu masih parti komponen GRS di Sabah, namun di peringkat nasional, Bersatu dan dua parti komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) serta Parti Progresif Sabah (SAPP) adalah komponen PN.
Pada PRU14 yang lalu, Ronald yang ketika itu bertanding mewakili BN di Parlimen Beluran menang dengan majoriti 7,115 undi, namun beliau bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu pada 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!