Devan tabik spring sama Jang

Para pemain Hobin Jang Hobin disifatkan telah memberikan komitmen padu dalam saingan Liga Malaysia 2022. - Foto Negeri Sembilan Football Club
Para pemain Hobin Jang Hobin disifatkan telah memberikan komitmen padu dalam saingan Liga Malaysia 2022. - Foto Negeri Sembilan Football Club
A
A
A

KOMITMEN para pemain Negeri Sembilan FC pada musim ini terutama kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak yang berjaya memimpin rakan sepasukan dengan cemerlang mendapat pujian.

Pengendali skuad Rusa, K Devan menyifatkan para pemain Hobin Jang Hobin memberikan segala-galanya untuk sekurang-kurangnya mengikat Selangor FC 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman walaupun tewas di suku akhir Piala Malaysia pada 12 November lalu.

“Malam ini (Sabtu) secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan pemain terutamanya Zaquan selaku kapten yang telah memimpin pasukan ini dengan begitu baik sekali.

“Dan dengan gol daripadanya juga telah berjaya membuktikan pimpinannya sebagai kapten begitu diperlukan untuk pasukan ini jadi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Negeri Sembilan.

“Saya memang akui Selangor pasukan yang lebih baik terutamanya dari segi susunan pemain dan bagi kita, pencapaian ini juga boleh dibanggakan walaupun hanya sampai suku akhir selain pencapaian tempat keempat Liga Super,” katanya.

Pada masa sama Devan menyifatkan skuad Rusa tidak perlu berdepan rombakan yang besar pada musim hadapan selain hanya perlu melakukan beberapa penambahbaikan.

Malah beliau juga menyerahkan kepada pengurusan kelab untuk menentukan kedudukannya sebagai pengendali pada musim 2023.

“Terpulang kepada pengurusan untuk perancangan musim depan tetapi bagi saya kita perlu buat persiapan yang lebih awal dan dengan pengalaman tahun ini, saya rasa kita boleh untuk membentuk pasukan lebih kuat.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu saya rasa kebanyakan pemain yang ada sekarang boleh dikekalkan dan kita hanya melakukan penambahbaikan, tidak perlu tukar 100 peratus.

“Kita boleh ambil pemain baharu untuk mengisi di posisi yang kurang impaknya selain perlu mencari pemain import yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Untuk rekod, Negeri Sembilan tewas kepada Selangor dengan keputusan agregat 2-4 menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe mengesahkan slot separuh akhir Piala Malaysia, berdepan Terengganu FC (TFC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!