PRU15: Pengundi PH dalam dilema untuk undi Khairy

Ismail Sabri dan Khairy Jamaluddin pada Program Ramah Mesra bersama Perdana Menteri dan Calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh di Uptown Damansara pada Isnin. - Foto Bernama
Ismail Sabri dan Khairy Jamaluddin pada Program Ramah Mesra bersama Perdana Menteri dan Calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh di Uptown Damansara pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI BULOH - "Pengundi tradisi Pakatan Harapan (PH) sekarang berada dalam dilema," kata calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, orang Sungai Buloh terbuka dan mahu calon berpengalaman, mungkin ada di antara mereka belum putuskan untuk memilih siapa.

"Jadi penting untuk saya dekati mereka kerana mereka dalam dilema sekarang ini. Mereka kata mahu beri kepada KJ tetapi mereka tradisional Harapan voters (pengundi)," katanya pada sidang akhbar selepas program Ramah Mesra bersama Perdana Menteri dan KJ di Uptown Kota Damansara pada Isnin.

Khairy berkata, berdasarkan maklum balas orang ramai, mereka mahukan ahli Parlimen yang kuat dan mempunyai platform bagi membantu menyelesaikan masalah di Sungai Buloh.

Jelasnya, beliau bersama jentera BN akan terus mendekati golongan berkenaan dengan berbaki empat hari lagi sebelum tarikh mengundi Sabtu ini.

KJ turut mengakui kempen terbesarnya adalah melalui media sosial seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, BN kekal dengan keputusan melantik tiga Timbalan Perdana Menteri jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri tidak menjelaskan sama ada gabungan itu sudah menetapkan calon yang akan dinamakan bagi jawatan berkenaan, namun berkata ia akan diputuskan kemudian.

"Biarkan kita menang dulu, kita belum bincang lagi (calon Timbalan Perdana Menteri), calon daripada UMNO, Sabah dan Sarawak, semuanya keputusan dibuat selepas kita menang (PRU15)," katanya.

Ismail berkata demikian sebagai mengulas cadangan menamakan Khairy Jamaluddin, sebagai antara calon bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri jika BN menang pada PRU15.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!