Anggota, pegawai tentera mula mengundi
PUTATAN - Pusat pengundian awal bagi pegawai dan anggota tentera darat di Kem Lok Kawi bertempat di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kem Lok Kawi, di sini, dibuka bermula jam 8 pagi Selasa.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiba seawal jam 6.30 pagi dengan membawa peti undi ke pusat pengundian awal berkenaan.
Setakat ini, proses pengundian berjalan dengan lancar di mana Panglima 5 Divisyen Datuk Abdul Rahman A Wahab individu pertama membuang undi sebelum disusuli pegawai dan anggota lain.
Terdapat lima saluran pengundian telah dibuka bagi memastikan kelancaran proses pengundian di Kem Lok Kawi.
Sebelum itu, Kem Lok Kawi berada di bawah Parlimen Putatan yang menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu Awang Husaini Sahari dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Shahelmey Yahya (BN), Poyne Tudus @ Patrick Payne (Pejuang) dan Ahmad Mohd Said (Warisan).
Proses pengundian awal bagi anggota dan pegawai tentera di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kem Lok Kawi, pada Selasa, dilaksanakan secara berperingkat.
Abdul Rahman berkata, ia bagi mengelak daripada berlaku kesesakan di pusat pengundian selain bagi memastikan proses pengundian awal berjalan dengan lancar.
"Bagi di Kem Lok Kawi, kita melaksanakan proses buang undi secara berperingkat untuk mengelak daripada berlaku kesesakan.
"Kita sudah laksanakan pengundian secara bergilir-gilir agar mereka membuat dapat melaksanakan proses pengundian awal," katanya kepada pemberita selepas membuang undi di pusat pengundian awal di SAR Kem Lok Kawi, di sini, pada Selasa.
Beliau yang juga individu pertama mendahului proses pengundian berkata, terdapat seramai 2,981 pengundi awal yang akan mengundi di Kem Lok Kawi pada proses undi awal kali ini.
"Jumlah keseluruhan anggota tentera darat yang mengundi awal di Sabah adalah seramai lebih 6,000 pengundi dan 2,981 pengundi awal bagi di Kem Lok Kawi termasuk pasangan.
"Bagi jumlah keseluruhan membabitkan tentera darat, laut dan udara termasuk di Labuan adalah seramai 11,181 pengundi yang akan membuang undi yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan terdapat 12 pusat pengundian awal bagi di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!