FGV sambut baik hasrat kerajaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perancangan kerajaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan peneroka Felda adalah langkah positif untuk mengukuhkan situasi kewangan mereka.

Dalam kenyataan hari ini, FGV Holdings Bhd (FGV) berkata pihaknya bersikap terbuka untuk turut serta dalam perbincangan strategik bagi mencari penyelesaian terbaik dan meneroka potensi kerjasama yang boleh memberikan manfaat kepada pemegang saham.

“FGV turut bersetuju mengenai keperluan segera untuk menyemak semula terma dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan Felda memandangkan perkara ini sering dibangkitkan sejak tiga tahun lepas sehingga mencetuskan ketidaktentuan dan kebimbangan dalam kalangan pemegang saham,” katanya.

Di bawah terma semasa LLA, FGV perlu membayar pajakan tetap kira-kira RM250 juta setahun untuk tempoh 99 tahun bermula 2012, tanpa mengira pergerakan harga semasa minyak sawit mentah (MSM).

FGV berkata semasa rundingan LLA dilaksanakan pada 2012, purata harga MSM adalah RM2,843 satu tan manakala harga MSM pada 10 April RM2,047 satu tan.

“FGV juga komited untuk membayar Felda sebanyak 15 peratus daripada kentungan hasil ladang LLA,” katanya, menambah syarikat itu telah memenuhi semua tanggung jawab di bawah LLA.

Di bawah pengurusan baharu, FGV berkata, ia akan menumpukan kepada pelan transformasi secara menyeluruh dan menurutnya keputusan kewangan bagi suku pertama 2019 akan diumumkan bulan depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!