PRU15: 15,048 warga tentera, pasangan undi awal di NS
PORT DICKSON - Seramai 15,048 warga tentera dan pasangan terlibat dalam proses pengundian awal pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Negeri Sembilan pada Selasa.
Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia, Jeneral Datuk Mohd Saifulisham Baharun berkata, mereka terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Ia melibatkan lima kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Parlimen Rasah seramai 1,622 tentera dan pasangan (Kem 1 Briged), Parlimen Seremban 33 orang (Rejimen 508 Askar Wataniah) dan 4,525 anggota Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda).
"Seterusnya 2,333 anggota Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPLDTD), Parlimen Rembau seramai 736 anggota (15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan 970 Pangkalan Udara Sendayan," katanya ketika ditemui pemberita di Kem Segenting di sini pada Selasa.
Ujarnya, seramai 4,828 anggota bagi Parlimen Tampin (Kem Syed Sirajuddin, Gemas) terlibat dalam proses pengundian awal bagi seluruh negeri ini.
Menurutnya, secara umum persiapan di lokasi adalah mengikut seperti mana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerusi Parlimen Port Dickson menjadi antara ‘kerusi panas’ di Negeri Sembilan menyaksikan pertandingan lima penjuru pada PRU15.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH) disaingi oleh calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kalamananthan dan calon Pejuang, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Turut memberikan saingan dalam pertembungan ini ialah calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Rafiei Mustapha dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah.
Setakat jam 10.52 pagi ini, Kalamananthan dan Abdul Rani telah hadir di Dewan Serbaguna Kem Segenting di sini manakala Aminuddin dijangka hadir kira-kira jam 11 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!