[VIDEO] PRU15: 1,386 pengundi awal di Putrajaya
PUTRAJAYA - Seramai 1,386 pengundi awal membuang undi di dua pusat pengundian Parlimen Putrajaya, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, dua pusat tersebut adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS).
"Di IPD, terdapat 746 pengundi termasuk pasangan kepada pegawai dan anggota polis menunaikan tanggungjawab mereka hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di sini pada Selasa.
Menurutnya, perjalanan proses undi di IPD Putrajaya berjalan lancar.
Bagi mengelakkan kesesakkan di pusat undi, kita bahagikan masa bagi setiap bahagian keluar mengundi," katanya.
Asmadi berkata, terdapat seorang pesakit Covid-19 yang juga anggota mengundi di IPD Putrajaya.
"Beliau telah diarahkan untuk mengundi pada sebelah petang bagi mengurangkan risiko terhadap pegawai dan kakitangan lain," katanya.
Sementara itu, pada perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah menerima tiga laporan polis berkaitan dengan kempen pilihan raya.
"Salah satu daripadanya adalah kes khianat yang mana kertas siasatan telah dibuka dan siasatan segenap sudut sedang dilaksanakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!