Rosma selamat bersalin anak ketiga
PENYANYI, Rosmayati Sidik atau lebih dikenali Rosma AF, 33, selamat melahirkan cahaya mata perempuan di Hospital Az-Zahrah, Bangi, Selangor, sekitar pukul 1.48 tengah hari, Khamis.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh suaminya yang juga merupakan bintang kelahiran program Akademi Fantasia musim pertama (AF1), Mohammad Khairul Nizam Mohammad Wahi atau Khai, 39, di akaun Instagramnya.
"Selamat pagi semua... Syukur Alhamdullillah... Anak perempuan kami “Nur Alya Dhania” selamat dilahirkan semalam 11.04.2019 jam 1.48 pm berat 2.8 kilogram," luahnya.
Dalam perkongsian sama Khai turut berterima kasih kepada warga hospital.
"Terima kasih buat Doktor Noraini dan pembantu semua di Hospital Az-Zahrah, Bangi di atas layanan dan bantuan semua.
"Terima kasih juga di atas doa-doa kalian semua keluarga, saudara mara, sahabat-sahabat dan rakan-rakan di Facebook dan IG kami," ucapnya.
Menariknya, menurut bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, terdapat tiga tarikh penting buatnya.
"Dalam bulan April ada tiga tarikh penting buat saya. 11 April (Hari lahir Dhania), 16 April (Hari lahir Rosma) dan 26 April (Anniversari kami)," kongsi Khai.
Sementara itu di ruangan komen, rata-rata mengucapkan tahniah kepada kedua bintang AF1 sementelah berpesan kepada Rosma supaya berehat dan selamat menjalani fasa berpantang.
Untuk rekod, Khai dan Rosma mendirikan rumah tangga pada 2008 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua orang zuriat, Muhammad Amzar Danish, 9, dan Nur Amani Damia Mohd, 4.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!