PRU15: Tentera cedera kaki, tangan buang undi
LUMUT - Seorang anggota tentera menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di sini pada Selasa.
Laskar Kelas 1 Muhammad Fiqri Rizuwan, 24, mengalami patah tangan dan kaki bahagian kanan selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam nahas dengan sebuah kereta sekitar jam 5.40 petang di Jalan Iskandar Shah di sini pada Isnin.
Menurut Muhammad Fiqri, dia berusaha menghadirkan diri ke pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Walaupun berkerusi roda, ada rakan sedia menolak sambil dibantu Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk naik ke tingkat satu.
"Kesakitan ini bukan penghalang untuk saya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Pada masa sama, empat anggota tentera wanita sarat mengandung antara pengundi awal yang menunaikan mereka.
Laskar Kanan TNL Safinas Nurlaily Mansor, 27; Laskar Kanan I TNL NurSyafika Abd Mubin, 27; Laskar Kanan I PNK Nurul Fathonah Mat Daud, 24 dan Laskar Kanan I PNK Norfarahin Mohamad 24 merupakan antara 8,327 warga TLDM yang membuang undi pada hari pengundian awal ini.
Sebanyak 18 saluran disediakan di tiga pusat mengundi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan TLDM dan SK Pangkalan TLDM 2 yang bermula pada 8 pagi hingga 5 petang ini.
Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Kamaruddin Omar adalah antara yang terawal melaksanakan tanggungjawab itu.
Turut mengundi awal adalah Panglima Pasukan Khas Laut (Paskal), Datuk Mohd Redzuan Talib dan Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Pertama Noor Zukhi Harun.
Keseluruhan anggota tentera dan pasangan melaksanakan pengundian awal melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor dan Parlimen Lumut.
Pada sekitar jam 9.50 pagi, calon-calon yang bertanding hadir bagi meninjau suasana proses pengundian awal antaranya penyandang dan juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli tiba 9.50 pagi dan calon BN Parlimen Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!