Denda RM15,000 buang sampah di lokasi haram

M Goby (berbaju hijau) ketika hadir ke mahkamah.
M Goby (berbaju hijau) ketika hadir ke mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Syarikat TMG Metal Trading didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan membuang sisa pepejal isi rumah di lokasi haram di Nilai dekat sini, Januari lalu.

Hakim, Maimoonah Aid menjatuhkan hukuman itu terhadap pemilik syarikat, M Goby, selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melonggok sisa pepejal terkawal iaitu isi rumah tanpa kebenaran pihak berkuasa di lot tanah di Kawasan Perindustrian Nilai dekat sini, kira-kira jam 3 petang, pada 3 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Jaya Nadarajah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!