Guru besar maut kemalangan

Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kampar pada Selasa. - Foto ihsan polis
Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kampar pada Selasa. - Foto ihsan polis
A
A
A

KAMPAR - Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 23.5 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran Kampung Gunung Panjang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian itu, Mohd Erilzuddin Affendi Mohd Amir, 45, yang menunggang skuter disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, laporan awal kemalangan diterima membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal jenis Honda Vario ditunggang mangsa.

"Siasatan awal mendapati MPV yang dipandu seorang wanita berusia 42 tahun dalam perjalanan dari arah Kampar menuju ke Ipoh.

"Kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan dan berpusing masuk ke laluan motosikal yang bergerak terus hala ke Kampar," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Pemandu kenderaan dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut. Punca kemalangan masih dalam siasatan.

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!