Anggota tentera, pasangan silih ganti dukung bayi untuk undi awal

(Gambar kiri) Mercella menggendong anaknya ketika hadir ke pusat pengundian awal. (Gambar kanan) Helmie Ahmad sambil mendukung anaknya ketika sedang melakukan proses pengundian awal di Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi, Putatan.
(Gambar kiri) Mercella menggendong anaknya ketika hadir ke pusat pengundian awal. (Gambar kanan) Helmie Ahmad sambil mendukung anaknya ketika sedang melakukan proses pengundian awal di Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi, Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Walaupun ada yang sambil mendukung atau menggendong bayi sepanjang proses pengundian awal berlangsung tetapi itu bukan penghalang bagi anggota tentera menjalankan kewajipan untuk negara pada proses pengundian awal di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kem Lok Kawi, di sini pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian sepanjang proses pengundian awal mendapati ibu dan bapa ada yang silih berganti mendukung anak selain ada juga yang dilihat membawa anak masing-masing ketika sedang menjalankan proses pengundian di saluran yang telah ditetapkan.

Menurut Helmie Ahmad, 37, beliau dan isteri bersama anaknya yang baru berusia satu tahun tujuh bulan sudah berada di pusat pengundian berkenaan seawal jam 7 pagi.

"Proses pengundian berjalan dengan lancar dan saya bersama isteri lebih awal berada di sini untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara kali ini.

"Ini kali pertama bagi saya mengundi sambil mendukung anak, mujur anak saya tidak meragam," katanya yang bertugas di unit 95 Upkat di kem berkenaan.

Antara gelagat anak-anak anggota tentera sementara menunggu ibu mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Sekolah Agama Rakyat, Kem Lok Kawi, Putatan.
Antara gelagat anak-anak anggota tentera sementara menunggu ibu mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Sekolah Agama Rakyat, Kem Lok Kawi, Putatan.

Seorang lagi pengundi isteri kepada anggota tentera, Mercella Leonardus, 29, mengakui agak penat beratur bersama anak yang digendong berusia lapan bulan.

"Tadi pagi jam 8 pagi untuk beratur dan proses lancar sebab saya bawa anak jadi dipercepatkan urusan.

Artikel Berkaitan:

"Memang penat jugalah beratur tetapi disebabkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi jadi saya anggap ini perkara biasa," katanya.

Sementara itu, seorang anggota tentera, Muhamad Aryadi Abd Rizam, 24, dari unit 75 Batalion Kor Perkhidmatan Diraja yang merupakan pengundi kali pertama menyatakan perasaan terujanya kerana dapat menunaikan tanggungjawab kepada negara.

"Teruja juga kerana kali pertama mengundi untuk menjalankan tanggungjawab. Kami sudah di sini seawal jam 8 pagi beratur untuk mengundi," katanya yang bertugas selama tiga tahun di Kem Lok Kawi.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!