PTPTN, USM jalin kerjasama strategik
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai kerjasama strategik bagi meneroka peluang dalam meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan penabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anak.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, melalui kerjasama strategik itu, kedua-dua pihak akan berganding bahu membangun, menyokong dan memperkasa usaha-usaha penyelidikan dalam mengenal pasti kaedah untuk meningkatkan bayaran balik pinjaman pendidikan dan simpanan pendidikan bagi jaminan masa depan pendidikan anak-anak.
Menurutnya, kerjasama ini dilihat sangat tepat sebagai salah satu usaha proaktif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutama generasi muda yang bakal menjadi ibu bapa mengenai penabungan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Kerjasama itu signifikan untuk mendidik pelajar mengenai kepentingan membuat bayaran balik pinjaman bagi kelestarian pinjaman kepada generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tersebut diadakan di USM, Pulau Pinang.
Ahmad Dasuki mewakili PTPTN manakala USM diwakili oleh Profesor Datuk Gs. Dr. Narimah Samat yang menjalankan fungsi Naib Canselor USM serta disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar pada Isnin.
Sementara itu, Dr. Narimah berkata, USM berkeyakinan dengan kekuatan kepakaran dalam bidang pengurusan perniagaan dan kewangan dimiliki USM, serta pengalaman luas dalam pengurusan pinjaman pelajar dimiliki PTPTN, kedua-dua pihak mampu menjalankan penyelidikan bersama yang dapat mencetuskan idea baharu khususnya dalam bidang literasi dan perancangan kewangan.
"Kerjasama ini juga diharap dapat membangunkan modal insan dalam kalangan pelajar USM melalui pelbagai inisiatif program kemahiran yang berkualiti supaya graduan dapat memenuhi keperluan industri apabila tamat pengajian nanti," kata Dr. Narimah.
Beliau berkata, PTPTN dan USM bersetuju untuk bekerjasama merangkumi pelbagai skop antaranya meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan yang berkualiti agar berupaya memenuhi keperluan industri dan pembudayaan penabungan Simpan SSPN bagi seluruh warga USM melalui pelbagai program.
“Kerjasama itu juga melibatkan penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan. Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada kakitangan USM dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dan penyampaian informasi serta promosi melalui medium hebahan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata, dengan kemudahan penyelidikan dan pembelajaran, pengalaman, dan kumpulan pakar pelbagai bidang dalam kalangan kakitangannya, USM telah melaksanakan banyak kerjasama kolaboratif dengan pelbagai pihak dalam usahanya untuk meningkatkan pengisian penyelidikan dan mengukuhkan jaringan industrinya.
Dr Narimah berkata, PTPTN adalah sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk menguruskan pinjaman bagi tujuan pendidikan tinggi serta mempunyai peranan besar dalam pembangunan modal insan negara.
“PTPTN telah menyediakan skim simpanan melalui Simpan SSPN bagi tujuan pendidikan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman. Melalui gabungan kepakaran antara kedua-dua belah pihak ini mampu merealisasikan kerjasama strategik yang telah dimeterai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!