PRU15: SPR keluarkan 365,686 kertas undi pos
PUTRAJAYA - Sebanyak 365,686 kertas undi pos dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada mereka yang berhak.
SPR memaklumkan daripada jumlah itu, 299,097 undi pos adalah kategori Borang 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media.
"Sebanyak 48,109 undi pos lagi adalah kategori Borang 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara," kata SPR dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagi kategori Borang 1C yang melibatkan agensi dan organisasi sebanyak 15,739 undi pos dikeluarkan serta 2,741 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
"Kesemua kertas undi pos dikeluarkan bermula pada 7 November lalu di kesemua 222 kawasan Parlimen dan 117 Dewan Undangan Negeri (DUN)," kata SPR.
Suruhanjaya itu berkata, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding.
"SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti Borang 2 serta segera mengembalikannya kepada pegawai pengurus sebelum jam 5 petang, Sabtu ini," katanya.
Dalam pada itu, SPR mengingatkan pengundi agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!