PRU15: Tambah baik lagi sistem pengundian - Mahfuz
ALOR SETAR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta menambah baik lagi sistem pengundian untuk pengundi awal di sesetengah balai polis seperti Balai Polis Pokok Sena pada masa akan datang.
Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia memandangkan hanya seramai 16 pengundi awal dari balai polis terbabit.
Bagaimanapun, Mahfuz mendapati, anggota di balai polis terbabit perlu menunaikan tanggungjawab mereka di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, Alor Setar.
"SPR diharapkan dapat melihat kembali mengenai sistem pengundian (misalnya) untuk Balai Polis Pokok Sena yang memiliki 16 pengundi awal sahaja.
"Bagi saya, ia (undi awal) tidak sepatutnya diadakan di sini (Alor Setar) dan SPR boleh uruskan untuk proses pengundian awal di balai mereka sendiri (Pokok Sena)," katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Awal di IPK Kedah, di sini, pada Selasa.
Menurut penyandang Parlimen Pokok Sena itu, saranan berkenaan disuarakan bagi memastikan proses pengundian awal berjalan dengan lebih lancar dan sistematik pada masa depan.
Mahfuz berkata, berdasarkan pemerhatiannya, ada saluran memiliki bilangan pengundi ramai namun ada saluran hanya memiliki sedikit sahaja bilangan pengundi awal mereka.
Bagaimanapun, katanya, saluran yang tidak memiliki ramai pengundi dan selesai awal masih perlu dibuka sehingga waktu saluran ditutup pada jam 5 petang.
Sehubungan itu, kata Mahfuz, SPR perlu mengkaji balik perkara ini bagi memudahkan proses pengundian, sekaligus tidak membazirkan tenaga dan sebagainya.
"Kita (cadang) buat di balai masing-masing sahaja. Jadi, apabila mereka sudah cukup 16 orang datang mengundi (saluran) ditutup. Jadi, SPR boleh bagi tumpuan pada kerja-kerja lain," katanya.
Sebelum ini, Mahfuz meninjau proses pengundian awal di kem tentera pada jam 8.50 pagi sebelum membuat tinjauan sama di IPK Kedah pada jam 10.30 pagi.
Beliau mendapati, proses pengundian awal anggota polis dan tentera di Kedah didapati berjalan lancar meskipun hujan agak lebat pada waktu pagi.
Beliau mendapati kadar pengundi awal yang keluar mengundi awal di dua tempat mengundi terbabit juga didapati agak tinggi setakat jam 11 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!