Polis Thailand tahan dua warga tempatan seludup pikap
SONGKHLA - Polis Thailand menahan dua warga tempatan yang menyeludup sebuah kenderaan pikap dengan nombor plat pendaftaran Malaysia di Sadao, Songkhla.
Dalam kejadian pada Ahad, bertindak atas maklumat orang awam, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 23 tahun itu yang membawa masuk sebuah pikap di lorong tikus di Sadao.
Ketua Polis Sadao Kol. Pol. Bantheng Laochareng berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu merupakan orang tengah yang diupah untuk menyeludup masuk kenderaan itu ke Thailand.
Setakat ini pemilik kenderaan itu belum tampil membuat laporan akan kehilangan kenderaan itu.
"Polis Thailand sedang berhubung dengan polis Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kenderaan itu,” katanya kepada Bernama di sini, pada Selasa - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!