PRU15: PH mampu buat kejutan di Putrajaya, kata Rafizi

Rafizi bersama calon PH Putrajaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Rafizi bersama calon PH Putrajaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz ketika ditemui pemberita pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Meskipun dilabelkan sebagai 'underdog', Pakatan Harapan (PH) yakin mampu membuat kejutan di Parlimen Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, faktor tersebut yang mempengaruhi perkara itu adalah keadaan naratif nasional.

Menurutnya, pada pandangan kasar, orang kata PH paling susah untuk dapatkan peluang di Putrajaya disebabkan calon Barisan Nasional (BN) adalah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan seorang menteri, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

"Demografi penduduk Putrajaya tidak jauh berbeza dengan Lembah Klang.

"Kalau dilihat sokongan pengundi di Lembah Klang, PH sudah berada di kedudukan hadapan dengan pengundi Melayu, apatah lagi (undi) bukan Melayu," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis makan tengah hari bagi mengumpul dana di sini pada Selasa.

Beliau berkata, terdapat 90 peratus pengundi di Putrajaya merupakan orang Melayu.

"Kita lihat sokongan terhadap BN, PN dan PH sama banyak walaupun kami underdog dan PH boleh buat kejutan di Putrajaya," katanya.

Tambah Rafizi, asalkan kempen, tawaran manifesto dan tarikan pengundi di peringkat nasional berada dalam prestasi baik, ia mampu mengatasi soal selama mana seseorang calon itu turun ke kawasan.

Artikel Berkaitan:

"Di luar bandar memang betul calon kena turun awal, jika tidak penduduk tidak kenal tetapi di bandar khususnya Putrajaya, keadaan itu tidak sama.

"Pengundi bandar akan melihat kandungan kempen dan melalui media sosial mereka akan mengenali calon di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keberadaan calon PH, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz yang terlalu singkat di Putrajaya berbanding penyandang, Tengku Adnan (BN) dan Mohd Radzi (PN).

Noraishah yang juga orang kurang upaya berdepan dengan lima calon termasuk dua daripada Bebas.

Selain Tengku Adnan dan Mohd Radzi, Parti Pejuang Tanah Air mempertaruhkan bekas pegawai kanan kerajaan, Datuk Mohd Rosli Ramli.

Dua calon Bebas adalah Samsudin Mohamad Fauzi, 46, dan peguam Lim Fice Bee.

Tengku Adnan mempertahankan Putrajaya selama empat penggal sejak 18 tahun yang lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!