Parti mana jadi pilihan pengundi di Selangor?
SHAH ALAM - Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin dirasai di Selangor yang menjadi salah satu negeri tumpuan ramai berikutan beberapa nama besar dipertaruhkan parti politik di negeri itu.
Sudah tentu, kerusi Parlimen Gombak menjadi tumpuan utama di Selangor yang menyaksikan pertembungan penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ditentang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mohamed Azmin yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Selangor pada 23 September 2014 hingga 19 Jun 2018 memenangi kerusi itu sejak tahun 2008 lagi.
Bagaimanapun, timbul 'cakap-cakap' politik meramalkan kerusi itu mungkin 'beralih tangan' kepada Amirudin yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Umum mengetahui, Parlimen Gombak antara kubu kuat PH di Selangor apabila Mohamed Azmin yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat' (PKR) pada PRU14 lalu meraih majoriti 48,721 undi menewaskan calon BN dan Pas.
Mohamed Azmin yang menyertai Bersatu dan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) kali ini berdepan tugas sukar mempertahankan kerusi berkenaan.
Rekod PRU14 lalu menunjukkan Pas hanya mampu meraih sebanyak 17,537 undi berbanding PKR yang ditandingi Mohamed Azmin memperoleh 75,113 undi.
Ini bermakna Mohamed Azmin perlu bekerja keras sekiranya ingin mempertahankan kerusi itu lebih-lebih lagi membabitkan saingan lima penjuru di kerusi terbabit.
Sudah tentu berlaku pecahan undi membabitkan tiga calon lain iaitu Datuk Megat Zulkarnain Omar Din (BN), Jamaludin Mohd Tahir (GTA-Pejuang), serta Zulkifli Ahmad (Bebas).
Satu lagi kerusi tumpuan di Selangor iaitu Parlimen Sungai Buloh menyaksikan BN menampilkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy yang sebelum ini mempertahankan Parlimen Rembau sejak 2008 dilihat mampu melakukan kejutan di kerusi Parlimen Sungai Buloh yang sebelum ini dimenangi S Sivarasa (PKR) dengan majoriti 26,634 undi pada PRU14.
Pada PRU15, Sivarasa tidak bertanding dan ini memberi kelebihan kepada Khairy untuk memikat pengundi di kawasan itu lebih-lebih lagi beliau yang menerajui Kementerian Kesihatan berjaya mengendalikan Program Imunisasi Covid-19 sehingga Malaysia menjadi antara negara terawal di Asia Tenggara mencapai imuniti berkelompok.
Ahli Politik lulusan Universiti Oxford itu juga menyatakan mahu memimpin negara suatu hari nanti mungkin membuatkan pengundi Sungai Buloh mula 'membuka mata' dan mahu memberi ruang kepada Khairy memulakan 'tapak' di Parlimen berkenaan.
Tidak kurang hangatnya di kerusi Parlimen Kuala Selangor menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan kehadiran dua nama besar iaitu penyandang, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kewangan mewakili BN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 dianggap 'panas' kerana kerusi itu sering bertukar tangan antara BN dan PH.
Pada PRU12, kubu kuat BN di Parlimen Kuala Selangor akhirnya tewas apabila Dr Dzulkefly memenangi kerusi itu pada tahun 2008.
Bagaimanapun, pada PRU13, BN yang mempertaruhkan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berjaya menewaskan Dzulkefly, namun tsunami politik melanda negara menyaksikan Dzulkefly kembali menang di kerusi itu menewaskan Irmohizam pada PRU14 lalu.
Memenangi majoriti 8,498 undi pada PRU14 lalu tidak boleh dianggap selesa oleh Dzulkefly lebih-lebih lagi dengan pertambahan pendaftaran undi baharu dan undi 18.
Jika dilihat dari segi bahan dan jentera kempen, sudah tentu BN berada di depan, namun dalam politik semuanya tidak mustahil.
Selain Tengku Zafrul dan Dr Dzulkefly, PRU15 di Parlimen Kuala Selangor turut menyaksikan dua lagi calon turut 'berentap' di kerusi terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Shaid Rosli dan Mohd Noor Mohd Sahar (PN-Pas) juga dilihat mempunyai kekuatan masing-masing.
Satu lagi kerusi menjadi tumpuan ialah di Parlimen Shah Alam membabitkan calon BN, Hizatul Hisham Abd Jalil atau mesra dengan panggilan Isham Jalil bertembung dengan tiga lagi muka baharu dan seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.
Kerusi Parlimen Shah Alam dianggap kubu kuat PH apabila bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memenangi majoriti 33,849 undi pada PRU14.
Ahli politik meramalkan kerusi itu mungkin berjaya dirampas Isham yang merupakan calon 'popular' di kawasan itu, namun ada yang tidak menolak kemungkinan kerusi itu kekal milik PH dengan majoriti kemenangan lebih rendah.
Senario politik di Selangor kali ini turut menyaksikan Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar digugurkan untuk mempertahan Parlimen Tanjong Karang disandangnya sejak enam penggal lalu dari tahun 1995.
Ramai membuat andaian kerusi Parlimen Tanjong Karang yang selama ini menjadi kubu kuat BN 'goyah' berikutan kekecewaan pengundi parti itu yang kecewa selepas BN tidak menyenaraikan Noh pada PRU15.
Malah, pengundi di Parlimen Tanjong Karang mendakwa kempen PRU15 kali ini lebih suram berbanding pilihan raya sebelumnya.
Pengganti Noh yang merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof dalam pertemuannya dengan media yakin pengundi hanya 'merajuk' sementara dan kembali memperkuat BN.
Habibah atau lebih mesra disapa 'mama' dalam kalangan pengundi muda Parlimen itu mahu membuktikan beliau juga calon 'winnable candidate' yang diperlukan BN.
Kerusi Parlimen itu menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan turut ditandingi Datuk Dr Zulkapferi Hanafi (PN); Siti Rahayu Baharin (PH); Azlan Sani Zawawi atau Lando (GTA) dan calon Bebas, Mohd Rosni Mastol.
PRU15 di Selangor ini mungkin menjadi petanda aras pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sama ada PH terus kekal mentadbir negeri ini atau sebaliknya.
BN tentunya menyasarkan sekurang-kurangnya 10 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor mampu dimenangi parti itu manakala PH pula mahu momentum kemenangan pada PRU14 lalu terus kekal.
Bagi PN pula, ini sebagai satu 'signal' untuk rakyat memilih parti itu memimpin negara pada masa depan.
Namun, sejauh mana PRU15 ini dapat menarik sokongan pengundi di Selangor lebih-lebih lagi dengan saingan parti politik lain yang tidak kurang hebatnya.
Pilihan di tangan anda, ayuh semua jangan lupa jalankan tanggungjawab masing-masing dengan keluar mengundi pada Sabtu ini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!