PRU15: Isu rakyat jadi teras manifesto di Parlimen Arau
ARAU – Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Arau, Fathin Amelina Fazlie mahu memberikan tumpuan kepada isu-isu rakyat dalam kawasan berkenaan yang menjadi rintihan golongan petani, nelayan dan golongan belia sejak sekian lama.
Menurut Fathin Amelina, membangunkan sosioekonomi golongan belia, menyelesaikan isu petani dan nelayan serta menyediakan ‘One Stop Center’ untuk aktiviti sukan dan riadah di kawasan Arauadalah teras utama dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
“Manifesto saya akan fokus kepada sosioekonomi dan juga pembangunan untuk anak-anak muda serta menyelesaikan masalah petani dan nelayan. Itu adalah tunjang utama dalam manifesto saya.
“Selepas lebih seminggu berkempen, saya juga menerima maklum balas daripada golongan anak muda di sini yang mahukan ‘One Stop Center’ untuk aktiviti sukan kerana dalam Parlimen Arau tidak banyak fasiliti begitu.
“Golongan muda ini tak banyak pilihan dan terpaksa pergi ke sempadan Kangar, Padang Besar. Manifesto saya ini realistik dan boleh dilaksanakan kerana ini adalah isu rakyat sebenar. Kita juga fokus menyelesaikan masalah mereka dan tidak berangan-angan tinggi,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Pada PRU15, calon berusia 28 tahun itu akan ditentang lawan ‘heavyweight’, Datuk Seri Shahidan Kassim (Perikatan Nasional) dan Datuk Rozabil Abdul Rahman (BN).
Dalam perkembangan lain, Fathin Amelina berkata, PH bukan hadir sekadar ‘pemecah undi’ terutama dalam kawasan Melayu sebaliknya yakin membuat kejutan di Parlimen Arau.
“Saya menerima maklum balas baik daripada golongan muda dan warga tua. Ramai juga yang memberi sokongan dan memberitahu akan menyokong Fathin Amelina.
“Soal keyakinan untuk menang, saya suka letak sedikit keraguan supaya lebih berusaha untuk berkempen dan mendekati masyarakat.
“Sekarang ini, kita memang kena tekan ‘boost button’ untuk kempen berhabis-habisan. Bagaimanapun dalam tempoh masa terhad ini, saya akan lebih fokus untuk turun di kawasan yang kami yakin menang atau mempunyai peluang dalam memastikan mereka terus menyokong saya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!