Projek landasan berkembar ETS Gemas-JB berjalan lancar
KLUANG - Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru berjalan lancar dan sudah mencapai 85 peratus siap, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, hari ini.
Beliau berkata, landasan berkembar itu dijangka siap sepenuhnya, pada pertengahan tahun hadapan.
"Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sedang menunggu satu depot yang sedang dibuat di Kempas untuk siap dan ia memerlukan sedikit masa. Selain itu, kita akan menggunakan kaedah ‘partial completion’ bagi menguji perkhidmatan tren elektrik (ETS) menggunakan landasan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Stesen KTM Kluang, di sini hari ini.
Projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer itu, akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan itu akan bergerak selaju 140 kilometer sejam dan anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah 3 jam 30 minit.
Ka Siong yang juga merupakan Presiden MCA itu berkata, masalah sebelum ini, melibatkan sebuah kuil di sini yang berdepan tindakan dirobohkan, kerana kawasan itu termasuk dalam projek pembinaan landasan berkembar itu sudah selesai, apabila pihaknya telah menemui jalan penyelesaian yang terbaik.
"Kita sentiasa menghormati akan sensitiviti kaum dan agama. Atas dasar itu, saya telah mengarahkan pihak yang berkaitan untuk tidak merobohkan mana-mana bahagian kuil tersebut, walaupun bahagian pagarnya.
"Semua bersetuju bahawa masalah ini ditangani dengan harmoni dan tidak mendatangkan sebarang masalah,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengesahkan BN dan PN akan bergabung membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ka Siong menegaskan BN belum pernah bersekemuka dengan mana-mana pemimpin dari PN.
"Soal ini tidak timbul kerana tidak pernah ada perbincangan. Saya selaku Naib Pengerusi BN pun tidak mengetahui perkara itu, dan tidak pasti dari mana datangnya maklumat sebegini,” katanya.
Dalam satu Ceramah Perdana PRU15 di Kampung Kubang Kiat, Kota Bharu, Kelantan, semalam, Takiyuddin menyatakan keyakinan PN dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menjelaskan dalam satu kenyataan berasingan hari ini, menegaskan beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU15. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!