'Nyawa rakyat penting berbanding kempen PRU15'
HULU TERENGGANU - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu akan lebih pentingkan nyawa rakyat jika berlaku banjir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding meneruskan berkempen.
Datuk Rosol Wahid berkata, jika diberi pilihan berkempen untuk menang pada PRU dengan nyawa (rakyat), beliau akan memilih selamatkan nyawa rakyat.
"Berkempen berkempen jugak, memang nak menang tapi yang penting nyawa rakyat. Jadi kalau nak tukar nak menang dengan nyawa rakyat, pada saya nyawa itu yang pertama.
"Saya ingat kata-kata orang tua (orang lama), atas dunia ini semua boleh cuba. Nak makan ikan kelah boleh cuba, nak makan landak boleh cuba tapi jangan cuba soal kematian sebab mati hanya sekali. Jadi saya pilih nyawa rakyat," katanya ketika sidang media di Kampung Pauh, di sini, pada Selasa.
Pada masa sama, Rosol berkata, apabila berlaku banjir kemungkinan besar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan batalkan undian.
"Di sini (Parlimen Hulu Terengganu) ada lima hingga enam tempat pengundian yang memang bila banjir air akan naik terutama di Hulu Berang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!