Anak muda pemangkin kelestarian perpaduan

Belia dengan kepelbagaian bangsa menjadi kekuatan sebagai penggerak masa hadapan Malaysia.
Belia dengan kepelbagaian bangsa menjadi kekuatan sebagai penggerak masa hadapan Malaysia.
A
A
A

Menurut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada penggal pertama tahun 2022, golongan belia atau remaja berumur 15 hingga 24 tahun yang berjumlah kira-kira 1.5 bilion orang, telah mewakili sekitar 16 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk dunia.

Peranan yang dimainkan golongan ini dalam pembentukan hala tuju dunia tidak boleh dinafikan. Negara-negara di seluruh dunia sedar akan kepentingan membentuk generasi akan datang yang lebih berdaya saing demi kelestarian dan legasi sesebuah negara.

Pengiktirafan Malaysia terhadap golongan belia di negara ini terserlah apabila pada 16 Julai 2019, Rang Undang-Undang (Pindaan) 2019 bagi meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan, menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun diluluskan dengan majoriti dua pertiga.

Ini bermaksud kita bersetuju bahawa untuk negara ini terus ke hadapan dan mencipta kejayaan, anak muda harus diberi ruang untuk sama-sama terlibat dalam setiap keputusan yang dibuat oleh pemimpin negara.

Generasi pelapis berwawasan bakal membangunkan negara.
Generasi pelapis berwawasan bakal membangunkan negara.

Jika dilihat dari sudut sejarah dunia, tidak ada negara yang bergolak dalam isu perpaduan antara rakyat berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Kebanyakan pergolakan itu biasanya mengakibatkan perang saudara yang menghancurkan negara mereka sendiri.

Contohnya, perang saudara di Rwanda pada tahun 1994, apabila Kaum Hutu sebagai rakyat majoriti di negara itu telah melancarkan perang ke atas golongan minoriti Kaum Tutsi yang mengakibatkan kematian kira-kira seramai 655,000 orang.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan konflik Kerajaan Junta Myanmar yang melancarkan perang terhadap etnik minoriti Rohingya, hingga menyebabkan kematian lebih 25,000 orang, manakala 700,000 etnik Rohingya terpaksa menjadi pelarian sehingga ke hari ini.

Contoh ini mungkin agak ekstrem, namun ia memaparkan betapa pentingnya kita sentiasa berusaha mencapai perpaduan antara kaum dan meneruskan usaha bagi mendidik generasi masa hadapan menghargai keamanan yang telah kita kecapi kini.

Memetik kata-kata watak Master Yoda dalam siri filem Star Wars, “Fear is the path to the dark side. Fear leads to anger. Anger leads to hate. Hate leads to suffering.” Maksudnya, ketakutan adalah jalan ke arah kejahatan. Ketakutan membawa kepada kemarahan. Kemarahan membawa kepada kebencian. Kebencian membawa kepada penderitaan.

Situasi yang terjadi di Rwanda dan Myanmar bukanlah terjadi dalam tempoh singkat, pergolakan bermula dengan ketakutan dan sifat prejudis yang tidak berasas, seterusnya menjadi kebencian yang disemai dari satu generasi ke generasi.

Setelah 59 tahun Malaysia wujud (dengan penyertaan Wilayah Sabah & Sarawak pada 16 September 1963), kita tidak boleh nafikan bahawa ada segelintir kecil anggota masyarakat yang masih lagi bersikap prejudis terhadap kaum lain.

Menyedari hakikat ini, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi kesedaran anak muda untuk menghayati kepentingan perpaduan antara kaum.

KRN dan SRN didik kepentingan nilai perpaduan

Dengan memegang teguh lima prinsip Rukun Negara, SRN dan KRN yang ditubuhkan di dalam institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah akan bertindak sebagai wadah untuk golongan muda memahami kepentingan perpaduan yang perlu dikekalkan.

Aplikasi terhadap prinsip Rukun Negara ini akan menjadi tali pengikat silaturahim antara rakyat, sehinggakan jika terdapat sebarang masalah melibatkan hubungan etnik, ia akan dapat diselesaikan dengan semangat muhibah yang jitu.

Anak muda teguh bersatu membina bangsa.
Anak muda teguh bersatu membina bangsa.

Usaha memartabatkan pemikiran belia jelas kelihatan melalui inisiatif Program Debat Perpaduan Keluarga Malaysia Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2022 yang melibatkan IPT, baru-baru ini.

"Pertandingan debat ini juga diadakan bagi menyemarakkan dan menyuburkan budaya pengucapan awam di samping dapat memupuk mahasiswa supaya lebih bergiat aktif dalam menyertai program-program kenegaraan," jelas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique di Universiti Teknologi Malaysia, 14 Ogos lalu.

Menyedari peranan golongan belia dalam memacu pembangunan negara, Persidangan Dewan Muda Malaysian Association of Youth Clubs (MAYC) Kebangsaan yang diadakan pada 22-23 Oktober lalu, berupaya melahirkan pemimpin belia berfikiran kritis di samping melatih mereka sebagai generasi pelapis negara.

Program sebegini meningkatkan kefahaman para belia terhadap konsep Raja Berperlembagaan di samping menerapkan rasa cinta kepada tanah air. Kerjasama KPN wajar dipuji kerana inisiatif yang dibawakan oleh MAYC turut mendukung aspirasi perpaduan dan membantu negara melahirkan pemimpin belia yang berwawasan merentasi pelbagai latar belakang.

“Setiap orang khasnya belia mempunyai peluang yang sama dalam membantu kerajaan membentuk negara dan bangsa yang makmur dan bersatu. Matlamat kita adalah melihat masyarakat sama-sama menikmati kekayaan negara dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang iaitu belia pada hari ini.” ujar Presiden MAYC, Mohd. Al-Hafizi Abu Bakar.

Melalui inisiatif Rukun Tetangga pula, program-program seperti Tunas Jiran dan Jiran Muda turut digerakkan bagi memastikan semangat integrasi di kalangan masyarakat dapat diperkukuhkan.

Inisiatif ini penting untuk mendidik anak muda Malaysia menjadi ejen perubahan dalam misi kita membentuk sebuah negara yang berupaya, berintegrasi dengan tulus dan ikhlas.

Anak muda perlu fahami wujudnya perpaduan utuh antara semua kaum di Malaysia, agar keharmonian negara akan terus terbela. Hasilnya, keamanan negara dan kestabilan politik akan dapat dicapai, kelestarian negara terus berkekalan.

Tanggungjawab menjaga keharmonian negara terletak di tangan kita semua, namun sebagai golongan yang bakal mewarisi negara, keterlibatan anak muda sebagai ejen penyatuan dan penyebar perpaduan amatlah ditagih kini.

Semoga anak-anak muda Malaysia sama-sama menjayakan iltizam ini bagi memelihara segala nikmat yang dikongsi dalam keadaan muhibah, aman, damai dan kondusif bagi memajukan negara yang kita cintai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!