Cadangan MPN disokong, elak rakyat tercicir bantuan
Muhyiddin saran kerajaan menyediakan satu sistem menerusi data khusus agar golongan layak tidak tercicir daripada menerima bantuan.
SHAH ALAM - Situasi kenaikan harga barangan, peningkatan kos sara hidup serta penyusutan pendapatan yang berlaku pada ketika ini memberi kesan kepada kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).
Menurut data Portal Pembasmian Kemiskinan (e-Kasih) yang direkodkan sehingga 30 Jun tahun ini, hampir 145,000 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dikategorikan sebagai miskin tegar dan jumlah tersebut dilihat semakin meningkat.
Sebagai inisiatif untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan, Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah menyarankan kerajaan untuk mengambil langkah intervensi segera bagi memastikan impak kepada rakyat yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup dapat diminimumkan.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan satu sistem bersepadu bagi memudahkan proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat, selari dengan kenaikan nilai bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari RM300 kepada RM1,000.
Menerusi inisiatif ini, data penerima bantuan yang layak dari semua agensi dapat diintegrasikan dalam satu sistem sama merangkumi proses penyaluran bantuan termasuk subsidi, boleh diselaraskan dan diagihkan secara tulus.
Cadangan ini berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang boleh mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat terjejas dan memerlukan bantuan.
Agenda pemulihan yang bersifat inklusif ini secara tidak langsung dapat memastikan tiada golongan yang akan terpinggir dan tercicir, khususnya masyarakat di pedalaman, orang asal serta peribumi Sabah dan Sarawak.
REAKSI RAKYAT
“Ketika pandemik Covid-19, saya mendapat Bantuan Prihatin Rakyat sebanyak RM2,000. Ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung ketika perniagaan tidak dapat beroperasi. Saya guna untuk bayar tunggakan yuran persekolahan tiga orang anak dan membeli persiapan pembukaan sekolah.” - Bekerja sendiri, Yunizar Mohd Yusoff“Kenaikan harga barangan asas memberi kesan kepada pengguna terutama mereka yang menanggung ahli keluarga ramai. Bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan mencukupi, saya perlu lakukan perbelanjaan berhemah dan memilih jenama makanan yang tidak terlalu mahal walaupun kualiti rendah.” - Pekerja swasta, Aida Hayati Azis“Saya menyambut baik cadangan MPN supaya satu sistem bersepadu bagi penyaluran bantuan dilaksanakan untuk memastikan tidak ada golongan memerlukan tercicir. Saya harap kerajaan akan datang lihat semula akses pemberian bantuan ini agar dapat dibantu segera.” - Pekerja swasta, Muhamad Akbar“Sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara, saya merupakan antara penerima bantuan daripada kerajaan. Alhamdulillah, tunai yang diberikan amat membantu untuk menampung kos sara hidup ketika semua sektor tidak dibenarkan beroperasi.” - Peniaga, Mohamad Azizi Adnan“Sebagai penerima bantuan JKM sudah pasti saya mendapat manfaat dengan kenaikan elaun bulanan. Dapatlah digunakan untuk keperluan asas dan buat modal perniagaan nasi lemak sebagai pendapatan sampingan.” - Penerima JKM, Aminah Zakaria“Sebagai orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, bantuan JKM yang diterima amat membantu sebagai permulaan modal mencari pekerjaan. Setelah mendapat kerja, saya gunakan wang itu sebagai pendahuluan untuk menampung kos perjalanan dan keperluan asas lain.” - Penerima JKM, Faizal Iza’aq Zainal“Sebagai ibu tunggal, kenaikan harga barangan memang memberi kesan kepada saya sekeluarga, sebab setiap hari akan guna. Kadang-kadang saya terpaksa catu, sebab saya ada juga ambil tempahan makanan sebagai tambahan raih pendapatan.” - Ibu tunggal, Erniza Eskat“Saya sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, terutama harga barangan yang mahal. Saya terpaksa mengehadkan pembelian dan buat keputusan bijak sebelum membeli. Kena merancang setiap perbelanjaan untuk elak pembaziran.” - Ibu tunggal, Faridah Muhammad