PH minta Zambry, Jamaluddin beri penjelasan

Arafat (tengah) bersama Sze Yee (dua dari kanan) dan Yee Chern (dua dari kiri) menunjukkan peta tanah yang telah dijual kepada syarikat milik bekas Adun Behrang pada sidang media di Wisma DAP, hari ini.
Arafat (tengah) bersama Sze Yee (dua dari kanan) dan Yee Chern (dua dari kiri) menunjukkan peta tanah yang telah dijual kepada syarikat milik bekas Adun Behrang pada sidang media di Wisma DAP, hari ini.
A
A
A

IPOH - Pakatan Harapan meminta Adun Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan bekas Adun Behrang, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi tampil menjelaskan isu jual beli tanah seluas 107.3 hektar di Tanjung Malim, empat tahun lalu.

Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pihaknya berasa curiga apabila syarikat milik Jamaluddin itu telah membeli tanah dengan harga rendah daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang dipengerusikan Zambry ketika itu.

"Tanah tersebut berpotensi tinggi untuk berkembang dari segi harga dan pembangunan. Keadaan itu menimbulkan banyak persoalan dan menimbulkan rasa curiga apabila dijual dengan harga kurang RM6,000 setiap ekar.

"Adakah ia disebabkan peranannya (Jamaluddin) yang terlibat dalam peralihan kerajaan negeri pada tahun 2009 atau mendapat layanan istimewa kerana tidak dicalonkan pada PRU 2013 lalu?," katanya kepada pemberita di Wisma DAP Perak di sini, hari ini.

Hadir sama, Adun Jalong, Loh Sze Yee dan Adun Astaka, Teoh Yee Chern.

Menurutnya, mereka diberi tempoh 48 jam untuk menjelaskan isu itu dan jika gagal, ia akan disusuli dengan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Diharapkan mereka ataupun wakil dapat menjelaskan kepada rakyat apakah keperluan tanah itu dijual dengan ditawarkan harga yang menarik.

"Penjelasan itu dapat melengkapkan laporan agar tidak berat sebelah selain melancarkan perjalanan kerajaan dan agensi berkaitan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!