Tumpu isu peluang kerja generasi muda jika menang PRU15
SHAH ALAM - Isu peluang pekerjaan bagi generasi muda di Parlimen Setiawangsa antara yang bakal diberi perhatian oleh calon Perikatan Nasional (PN), Nurul Fadzilah Kamaluddin sekiranya memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, perkara itu diambil maklum memandangkan ramai generasi berkenaan yang sering tampil kepadanya menyuarakan masalah berkenaan.
Ujarnya, masalah itu sangat difahami disebabkan beliau sendiri merupakan salah satu daripada generasi muda.
“Saya telah menyediakan 10 tawaran kepada penduduk di Setiawangsa yang mana salah satunya adalah mewujudkan yang mana salah satunya menganjurkan Program Karnival Setiawangsa: Sihat dan Sukses.
“Menerusi program tersebut, kita akan memfokuskan kepada anak muda dari sudut penawaran pekerjaan terhadap mereka oleh syarikat-syarikat yang menyertainya.
“Jadi saya kira, ia sedikit sebanyak dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada mereka,” kata beliau kepada Sinar Harian selepas Program Sinar Live pada Selasa.
Nurul Fadzilah pada masa yang sama mengingatkan seluruh generasi muda untuk keluar mengundi semasa pilihan raya itu.
Jelasnya, setiap undi yang diberikan generasi itu adalah sangat bermakna bagi masa hadapan negara.
“Jangan rasa takut dan gentar kerana ini adalah penentuan kepada sebuah kerajaan yang bakal dibentuk,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!