Rapid Rail perjelas isu gangguan LRT Jelatek, KLCC

Gambar dikongsi pengguna di media sosial. - Foto Twitter @faizalghazaly
Gambar dikongsi pengguna di media sosial. - Foto Twitter @faizalghazaly
A
A
A

SHAH ALAM - Gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Jelatek pada pagi Selasa adalah disebabkan masalah teknikal tren dan bukan berpunca daripada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC).

Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan, masalah tersebut berlaku pada tren bernombor 59 dan penumpang diminta turun bagi mendapatkan tren seterusnya.

“Menurunkan penumpang adalah sebahagian daripada prosedur operasi Rapid Rail bagi memastikan keselamatan kelancaran operasi tren.

“Proses mengeluarkan tren daripada perkhidmatan mengambil masa kira-kira tiga minit dan pelarasan semula kekerapan tren mengambil masa 10 minit.

“Tren gantian bernombor 54 telah dimasukkan bagi mengekalkan kekerapan tren selama lima minit manakala tren (59) yang mengalami masalah tersebut telah dibawa ke depoh penyelenggaraan Rapid Rail di Subang bagi pemeriksaan lanjut,” katanya pada Selasa.

Kenyataan Rapid Rail itu merujuk kepada beberapa laporan media dan ciapan di media sosial tentang keluhan pengguna di Stesen LRT Jelatek dan KLCC.

Rapid Rail juga mengesahkan bahawa terdapat tiga pintu yang mempunyai masalah ketika tren bernombor 10 tiba di Stesen LRT KLCC pada jam 7.53 pagi.

“Kami mendapati pintu platform berfungsi secara normal pada tren-tren lain. Pihak operasi telah mengeluarkan tren tersebut untuk menjalani pemeriksaan lanjut di depoh Subang.

Artikel Berkaitan:

“Rapid Rail akan menjalankan pemeriksaan dan ujian terhadap sistem komunikasi antara pintu tren dan pintu di platform selepas waktu operasi tamat pada hari ini. Ini bagi mengenal pasti punca dan seterusnya membaiki masalah tersebut,” katanya.

Rapid Rail juga memohon maaf kepada penumpang atas masalah yang dihadapi mereka disebabkan gangguan perkhidmatan LRT itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!