Aksi istimewa Szczesny di Qatar
PENJAGA gol Poland, Wojciech Szczesny berada dalam dilema mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan dalam saingan Piala Dunia pada edisi mendatang.
Mungkin edisi 2022 di Qatar menjadi penampilan terakhir, namun pada masa sama masih belum bersedia untuk menggantung but di peringkat antarabangsa.
"Saya tidak boleh bayangkan masih bermain bola sepak pada 2026 dengan keinginan sama seperti dirasakan hari ini, yang bermakna saya tidak akan bermain bola sepak," kata Szczesny yang mencecah usia 32 tahun.
"Bagaimanapun, empat tahun adalah tempoh panjang. Ia boleh berubah, tetapi saya merasakan bermain di Piala Dunia kali terakhir di Qatar.
"Kemudian, ia mungkin berubah apabila saya bermain untuk dua edisi lagi. Enggan menjanjikan apa-apa, tetapi itu perasaan saya apabila turun beraksi menentang Sweden," katanya.
Penjaga gol yang beraksi bersama Juventus itu membuat penampilan sulung bersama Poland pada November 2009 ketika menang 1-0 pada perlawanan persahabatan menentang Kanada.
Szczesny tidak merasakan terlalu tua untuk berfikir menamatkan karier antarabangsa.
"Saya mahu bermain di kejohanan istimewa. Di Piala Dunia kali ini, saya berharap bermain di final menjadi aksi terakhir saya. Mungkin perlawanan merebut tempat ketiga," katanya sambil tersenyum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!