PRU15: Hamzah ada peluang menang lagi di Larut
LARUT - Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Larut buat penggal keempat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Pencapaian serta rekod perkhidmatan di kawasan yang diterima baik oleh pengundi, membuka ruang kepada Menteri Dalam Negeri itu mengekalkan kemenangan meskipun bertanding atas tiket berbeza.
Muhammad Isham Mohammad Noor, 21, yang akan mengundi kali pertama meyakini pengalaman pemimpin itu.
Katanya, Hamzah telah menganggotai Kabinet untuk tempoh yang lama dan sudah pasti kepimpinannya lebih dipercayai berbanding calon lain.
"Bagi saya pengundi lebih menilai pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan bertanggungjawab kepada rakyat untuk mewakili mereka.
"Lagipun rekod perkhidmatan Datuk Seri (Hamzah) sudah terbukti, dari dahulu kawasan ini tidak pernah sunyi daripada aktiviti belia antaranya pertandingan rakit, dan bola sepak," katanya.
Peniaga, Wong Shu Hin, 57, berkata, meskipun berada dalam kawasan luar bandar, perkembangan ekonomi di kawasan itu masih di tahap yang baik.
"Semasa kita berdepan masalah ekonomi, wakil rakyat di sini membantu dengan menyediakan jualan murah, bantuan kepada peniaga dan bekalan makanan ketika PKP (perintah kawalan tetap) pun banyak disumbangkan.
"Kita sebolehnya mahu pemimpin yang ada bersama rakyat ketika susah dan senang," katanya.
Kakitangan swasta, K Kunabalan, 39, berpuas hati dengan kemudahan infrastruktur yang disediakan di kawasan itu, hanya memerlukan penambah baikan beberapa perkara.
"Keadaan jalan di sini lebih baik berbanding kawasan luar bandar yang lain, cuma kalau elok perbanyakkan lampu jalan kerana di sesetangah kawasan terutama laluan Bagan Serai ke Selama sangat gelap.
"Bahaya untuk penunggang motosikal yang berulang alik ke tempat kerja seperti saya," katanya.
Suri rumah, Norhafiza Abd Kader, 55, berkata, Setiausaha Agung Bersatu itu kerap turun padang meninjau keadaan sekolah-sekolah di kawasan itu.
Selaku seorang ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dia mengakui banyak bantuan dan dana yang diluluskan Hamzah bagi kegunaan pembangunan sekolah dan pelajar.
"Dalam sibuk dengan tugas menteri, beliau masih ada masa turun padang mendengar keluhan penduduk dan menyantuni setiap lapisan masyarakat," katanya.
Sementara itu, Hamzah menegaskan, situasi politik kini memperlihatkan gelombang rakyat yang mahukan calon bersih, berintegriti dan mampu menjaga kebajikan rakyat serta memulihkan ekonomi negara.
Katanya, rakyat sudah muak dengan politik tidak sihat dan semakin sedar bahawa perjuangan sebenar bukan semata-mata untuk parti, tetapi masa depan rakyat.
"Kalau dulu ramai yang menentang dan melawan saya (atas faktor lompat parti), sekarang sudah bersama membantu perjuangan saya," katanya.
Beliau yang kali ini mempertahankan kerusi tersebut atas tiket PN dicabar Ketua Penerangan Pemuda Umno Larut Shafiq Fhadly Mahmud (BN), Zolkarnain Abidin (Pakatan Harapan) serta calon Pejuang, Auzaie Fadzlan Shahidi.
Pada PRU14, Hamzah yang ketika itu mewakili BN menang kerusi Parlimen Larut selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dan calon PKR, Khairil Anuar dengan majoriti 4,486 undi.
Beliau kemudiannya umum keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.
Sepanjang tempoh tiga penggal ini, Hamzah dilantik menganggotai Kabinet sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2008), Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (2009), Timbalan Menteri Luar Negeri (2013), Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (2015) dan Menteri Dalam Negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!