Pemuda UMNO, Pas Johor jumpa TMJ
JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menerima kunjungan beberapa Ketua Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas negeri di Istana Pasir Pelangi, di sini, semalam.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, kunjungan berlangsung selama dua jam bermula 5 petang itu adalah untuk membincangkan cadangan dan hala tuju pembangunan Johor di masa akan datang.
“Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas Johor menjunjung kasih kepada Tunku Ismail yang sudi meluangkan masa menerima kunjungan kami.
“Perbincangan dan lontaran idea pada pertemuan ini adalah fokus kepada pembangunan dan hala tuju Johor sebagai sebuah negeri bertuah di selatan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd Hairi berkata, menerusi pertemuan itu, Tunku Ismail turut menyuarakan kesudian dan keterbukaan beliau untuk bertemu sesiapa sahaja yang mahu berbincang serta menyuarakan pandangan.
“Semestinya, Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas Johor berbesar hati dengan sikap prihatin ditunjukkan Tunku Ismail itu selain memaklumkan perkara itu adalah pendirian asas perjuangan kami yang mahu menegakkan agama, bangsa dan negara.
“Kami juga bersama-sama di belakang Tunku Ismail dalam menegakkan kedaulatan Institusi Diraja terutama untuk Negeri Johor,” katanya.
Seramai 26 Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan dua Dewan Pemuda Pas negeri telah terlibat bersama-sama dalam pertemuan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!