Tawaran Azli kepada warga Shah Alam

Tangani kos sara hidup, selesai isu banjir jadi keutamaan

No Image Caption
A
A
A

Menangani kos sara hidup rakyat serta menyelesaikan isu banjir secara efi sien antara beberapa tawaran utama yang dikemukakan calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Shah Alam, Azli Yusof sekiranya berjaya memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Menurut Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor itu, manifesto lain yang turut ditawarkan adalah mewujudkan hab ‘e-bisnes’ sebagai ekosistem untuk anak muda memulakan perniagaan dan memperjuangkan perlindungan keselamatan kepada pekerja ‘ekonomi gig’.

Jelasnya, turut ditawarkan adalah menangani masalah kesesakan lalu lintas, membina sekolah menengah di kawasan U10, menambah bilangan klinik kesihatan pesakit luar, klinik ibu dan anak, membuat pembangunan yang seimbang di Shah Alam dan juga membangun semula unit kediaman lama.

“Keutamaan saya sekiranya dipilih oleh rakyat di Shah Alam juga ingin memastikan isu kos sara hidup yang begitu menekan rakyat akan diperjuangkan sebaik mungkin.

“Masalah banjir luar biasa yang melanda Shah Alam tahun lalu juga cukup memberi kesan trauma kepada penduduk yang terlibat. Jadi, isu ini akan menjadi antara perkara pokok yang akan saya perjuangkan nanti.

“Kita ingin memastikan penyelesaian masalah banjir ini bukan bersifat jangka pendek kerana kita sedar bencana alam ini berkait dengan perubahan iklim semasa,” katanya.

AZLI
AZLI

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, fokus tawaran yang diberikannya itu merupakan antara perkara yang menjadi kemahuan pengundi di kawasan Shah Alam terutamanya dalam aspek kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Ditanya mengenai siri kempen yang sedang berjalan ketika ini, Azli yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama tiga tinggal penggal itu berkata, lebih 80 peratus penduduk di pusat bandar Selangor telah disantuni.

Jelasnya, sebilangan kecil warga Shah Alam yang belum ditemui dijangka akan selesai sebelum kempen menutup tirainya nanti.

“Kempen yang kita jalankan turut melibatkan fizikal dan alam maya. Sasaran kempen kita juga merangkumi pelbagai peringkat dan golongan di semua kawasan seperti perumahan, pasar, pusat perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Terima sokongan

Mengulas mengenai sokongan yang diterima terhadapnya sepanjang tempoh kempen berlangsung lebih seminggu itu, beliau berkata, rata-rata penduduk Shah Alam menyatakan sokongan.

Keyakinan itu katanya bersandarkan maklum balas yang diterima sepanjang melakukan siri kempen yang menemukan dirinya dengan masyarakat pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

“Alhamdulillah semakin kita hampir ke penghujung ini saya dapat rasai yang pengundi di Shah Alam ini sudah mula tunjuk kecenderungan dengan memberi sokongan kepada saya serta memilih PH yang ingin diundi mereka.

“Melihat kepada momentum ini dan kerja keras jentera PH yang berterusan diiringi dengan doa dan munajat pendokong PH serta paling penting para pengundi Shah Alam keluar mengundi beramai-ramai, kerusi Parlimen Shah Alam dapat dikekalkan oleh PH. Atas keyakinan itu juga kita akan terus bergerak hingga ke titik akhir kempen,” katanya.

Azli juga mahu menumpukan kepada pembangunan sukan untuk remaja dan juga memperkasakan bidang pendidikan untuk warga Shah Alam.
Azli juga mahu menumpukan kepada pembangunan sukan untuk remaja dan juga memperkasakan bidang pendidikan untuk warga Shah Alam.

Sementara itu, ditanya mengenai perubahan besar yang dilaluinya selepas dipilih menjadi salah seorang calon, Azli berkata, waktunya bersama keluarga begitu terhad.

“Paling ketara sejak bergelar calon ini, waktu tidur yang ada begitu singkat iaitu kira-kira empat jam. Namun alhamdulillah, saya seronok sebenarnya apabila dapat mendekati rakyat sebegini.

“Ada masanya saya akan ‘mencuri’ tidur di dalam kereta ketika bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain, dapat melelapkan mata 10 minit pun sudah cukup berharga,” selorohnya.

Calon yang membawa ‘tag line’ Ask Azli, Azli Peduli itu berkata, pengundi Shah Alam perlu memastikan sokongan diberikan kepadanya bagi memastikan negeri yang diterajui PH ini dapat meneruskan pembangunan yang lebih utuh.

Beliau pada masa sama turut merayu kepada pengundi agar memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai ahli Parlimen di kawasan berkenaan bagi membolehkan legasi kecemerlangan diteruskan.

“Saya merayu kepada warga Shah Alam supaya memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat dan saya bertekad untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat di sini jika dipilih nanti.

“Saya dengan rakan-rakan pimpinan PH yang lain juga akan berusaha memperjuangkan hak dan membela nasib rakyat di Selangor khususnya di Shah Alam,” katanya.

PROFIL

Nama: Azli Yusof

Tarikh lahir: 15 Mac 1967

Tempat lahir: Sungai Besar, Selangor

Keluarga:

Noraini Abu Bakar (Isteri)

Empat orang anak berusia 21 - 27 tahun (dua lelaki dan dua perempuan)

PENDIDIKAN:

Ijazah Pengurusan Kejuruteraan, University of Missouri-Rolla, AS Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Unisel

PENGALAMAN DAN KEPIMPINAN

Jawatan: Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan (2018 – 2020)

Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL (2018 – 2020)

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam, MBSA (2008 -- 2015) Timbalan Pengerusi Amanah Selangor (2019 -- kini)

Ketua Amanah Kawasan Shah Alam (2016 – kini)

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (2019 – kini)

Penglibatan Komuniti, Sosial dan Kemanusiaan:

Nazir Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam (2012) Imam Surau At Taqwa Seksyen 7, Shah Alam.

Pengasas dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Sekolah Rendah Islam Pintar Shah Alam.

ADVERTORIAL

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!