Tze Yong laung amaran awal di Terbuka Australia
NASIB berbeza menimpa pemain perseorangan lelaki Ng Tze Yong dan pemain perseorangan wanita negara S Kisona apabila kedua-duanya menyingkap tirai Kejuaraan Badminton Terbuka Australia pada Rabu.
Tze Yong melaung amaran awal apabila pemenang pingat Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu menjinakkan cabaran pemain Australia, Jacob Schueler, 21-13, 21-15 dalam masa 39 minit di Pusat Quay, Sydney, Australia.
Menanti Tze Yong di fasa seterusnya adalah bintang Korea Selatan, Heo Kwang Hee yang sebelum itu menjinakkan pemain tuan rumah Peter Yan, 21-6, 21-13.
Turut menyelit mara Soong Joo Ven yang mudah menyingkirkan pemain Australia, Adam Dolman, 21-12, 21-12 dalam masa 32 minit untuk pengesahan slot berdepan Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay dari Indonesia.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi Kisona, apabila anak didik James Chua berusia 24 tahun tersebut kecundang di pusingan 32 kali ini.
Kisona terpaksa akur kepada pengalaman dan gaya permainan padu pilihan ketiga kejohanan Pornpawee Chochuwong dari Thailand, yang juga pemain di ranking kelapan dunia, 13-21, 10-21 dalam masa 39 minit.
Turut mengakhiri cabaran adalah seorang lagi pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah yang tewas kepada Putri Kusuma Wardani, 19-21, 15-21 dalam masa 35 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!