Kes bunuh Altantuya: Keputusan saman RM100 juta 16 Disember
SHAH ALAM - Keputusan kes saman RM100 juta yang difailkan keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, berhubung kematian wanita itu, ditetapkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 16 Disember depan.
Peguam, Sangeet Kaur Deo berkata, keputusan itu akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera secara dalam talian.
“Mahkamah sebelum ini menetapkan kes itu diputuskan pada 19 Oktober lalu, namun ia ditangguhkan ke tarikh lain.
“Tarikh baharu ditetapkan pada 16 Disember ini,” katanya selepas dihubungi media.
Pada 30 Ogos lalu, mahkamah menetapkan keputusan kes itu diketahui pada 19 Oktober, selepas keluarga berkenaan selaku plaintif memohon penangguhan kerana hujahan bertulis dimasukkan lebih lewat ke mahkamah.
Ini kerana seorang peguam plaintif dan anak Sangeet Kaur disahkan positif Covid-19 beberapa minggu sebelum itu.
Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007.
Keluarga itu mendakwa, kematian model berkenaan pada 2006 menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, selain melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.
Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan.
Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.
Mahkamah menetapkan 20 Jun lalu untuk plaintif memfailkan hujahan dan 20 Julai lalu bagi defendan menjawab hujahan itu serta 4 Ogos lalu untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan balas.
Seramai 26 saksi plaintif, termasuk bapa serta anak sulung Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 2019.
Defendan pula iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih untuk tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!