PRU15: Janji BN tarik pelaburan di Taiping

Ahmad Shalimin (tengah) dan Choo Seong (kanan) menyantuni pengundi dalam siri kempen PRU15.
Ahmad Shalimin (tengah) dan Choo Seong (kanan) menyantuni pengundi dalam siri kempen PRU15.
A
A
A

TAIPING - BN mahu mengembalikan kelestarian pembangunan di Taiping selari dengan kemampuan bandar warisan itu dari aspek perindustrian dan pelancongan.

Pengerusi BN Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, kawasan itu mempunyai potensi tinggi dibangunkan, namun suram sepanjang 15 tahun diwakili pembangkang.

Menurutnya, Greater Kamunting yang berfokuskan kepada sektor perindustrian dan pernah digariskan dalam Pelan Perak Amanjaya juga tidak dapat diteruskan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Kita perlukan pelan ini untuk menjadikan Taiping sebagai katalis kepada keseluruhan kemajuan di kawasan ini.

"Pelaksanaannya penting untuk memperluaskan tapak perindustrian kerana kedudukan Kamunting itu yang strategik dekat dengan jaringan pengangkutan terutama pelabuhan di Pulau Pinang.

"Namun malangnya, pada 2018 tidak dapat diteruskan dan setelah kita ambil alih kerajaan, pelan sama telah dimasukkan dalam Perak Sejahtera 2030 sebagai satu daripada tonggak ekonomi yang diwar-warkan kerajaan negeri BN," katanya.

Ahmad Shalimin (kanan) bersama Choo Seong (kiri) mahu mengembalikan Taiping sebagai bandar perindustrian dan pelancongan.
Ahmad Shalimin (kanan) bersama Choo Seong (kiri) mahu mengembalikan Taiping sebagai bandar perindustrian dan pelancongan.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kamunting itu berkata, BN turut mempunyai perancangan untuk memperkemas dan memperbanyakkan lagi pembangunan kilang industri di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, banyak kilang yang sebelum ini membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat telah ditutup dan keadaan itu memerlukan suntikan dengan menarik pelaburan baharu ke Taiping.

"Peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar menjadikan rakyat mahu pengukuhan ekonomi dilaksanakan dan itu fokus yang kita bawa di kawasan ini sekiranya mendapat mandat nanti," katanya.

Sementara itu, calon Parlimen Taiping, Neow Choo Seong sedia menggunakan pengalamannya sebagai bekas pegawai tadbir dan diplomatik selama 13 tahun untuk menarik pelaburan asing yang berimpak tinggi ke kawasan itu.

Katanya, khidmatnya di Wisma Putra dan bertugas di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan China memberi kelebihan untuknya meneroka lebih banyak sektor baharu di Taiping yang berada di tengah-tengah pusat tumpuan dan mempunyai jaringan perhubungan baik untuk aktiviti perindustrian.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang, kita perlu sokongan pelabur-pelabur luar bersama perancangan yang terperinci. Kelebihan itu ada kepada kerajaan BN," katanya.

Dalam masa sama, anak tempatan berusia 37 tahun ini juga mahu mengembalikan kegemilangan Taiping sebagai sebuah bandar pelancongan yang berprestij.

Ujar beliau, kawasan-kawasan yang dulunya menjadi tarikan utama pelancongan semakin terbiar antaranya Taman Tasik Taiping tidak diurus dengan sebaiknya, Bukit Larut kini sentiasa mendapat rungutan disebabkan kerap kali berlaku tanah runtuh.

"Sebagai orang muda, saya tidak boleh biarkan keadaan begini berlarutan. Pembangunan yang kita mahukan bukanlah yang pesat, tetapi pembangunan mampan.

"Kita nak melestarikan pembangunan dengan membawa masuk pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pelancongan dan perindustrian," katanya.

PH melalui DAP menawan Taiping daripada gabungan BN pada 2008, selepas menewaskan calon BN dari Parti Progresif Rakyat (MyPPP), M Kayveas yang menang di kerusi itu pada PRU 2004.









Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!