Miliki 62 video lucah, kerani didenda RM3,500
KLANG - Tindakan seorang kerani memiliki 62 video lucah dalam telefon bimbit, empat tahun lalu mengundang padah apabila didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Noor Azmira Kamarudin, 44 dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Noor Azmira didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit pangsapuri di Bandar Putera, di sini pada jam 8.30 malam, 23 Oktober 2018 lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Rajvinder Singh memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana dia mempunyai seorang anak yang masih kecil selain perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Fazril Sani Mohd Fadzil memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tidak mengulangi perbuatan sama pada masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!