Beri diskaun 10 peratus, galak orang mengundi
MELAKA - Sebuah restoran di Klebang di sini, menawarkan potongan harga 10 peratus kepada pelanggan sebagai inisiatif menggalakkan orang ramai keluar mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.
Pemilik Melantak Steamboat n Grill, Marina Md Ramli, 53, berkata, promosi selama dua hari itu bermula 19 dan 20 November ini bagi memastikan pengundi mengambil peluang melaksanakan tanggungjawab dan menentukan masa depan negara.
"Idea ini tercetus bagi menghangatkan suasana pilihan raya dan menggalakkan orang ramai keluar mengundi dan bukan tujuan memihak kepada mana-mana parti.
"Lagipun restoran Melantak Steamboat n Grill ini baharu beberapa hari beroperasi dan secara tidak langsung dapat meramaikan orang datang, selepas kewujudan Melantak Steak Hub beberapa tahun lalu," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.
Tambahnya, mereka yang berminat hanya perlu menunjukkan dakwat kekal dijari untuk menikmati tawaran harga istimewa.
"Pelbagai pilihan makanan laut serta sayur-sayuran yang disajikan bagi memikat hati pelanggan dan mereka boleh ambil apa sahaja makan sehingga kenyang," katanya.
Jelasnya, dalam tempoh pandemik Covid-19, perniagaan yang diusahakan bersama suami Kamarul Hisham Kamaruddin, 53, turut terkesan namun bernasib baik ketika itu kerajaan mewujudkan moratorium dan bantuan perniagaan lain bagi membolehkan mereka bangkit kembali.
"Alhamdulillah perniagaan ini masih dapat beroperasi dan kerana itu kita mempelbagaikan lagi pilihan makanan agar pelanggan tidak berasa jemu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!