Bekas pegawai Baitulmal didenda RM15,000 kes wang asnaf

Mohd Hasbollah (tengah) diiring pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.
Mohd Hasbollah (tengah) diiring pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas Pegawai Baitulmal daerah Kuala Pilah didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menerima baki wang peruntukan yang diluluskan untuk kerja pembekalan program bantuan hari raya kepada asnaf, lima tahun lalu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hasbollah Ahmad, 39, selepas dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Pegawai Baitulmal Daerah Kuala Pilah didakwa telah menerima sejumlah wang tunai iaitu baki peruntukan yang diluluskan untuk kerja pembekalan program bantuan hari raya.

Ia berupa cenderahati kepada asnaf daripada sebuah syarikat yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat itu ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi serta mempunyai kepentingan dengan dirinya.

Kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah bank di daerah Tampin pada Jun 2017.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon hukuman tinggi ke atas tertuduh sebagai pengajaran lebih-lebih lagi ia melibatkan pengurusan wang asnaf.

Peguam Mohd Hasryzal Badasary pula merayu hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan dia telah insaf dan kini mengalami masalah kewangan selepas diberhentikan kerja.

Artikel Berkaitan:

"Tertuduh mempunyai seorang isteri dan dua orang anak selain menjaga ibu bapanya.

"Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia memohon maaf atas kesilapannya. Kini tertuduh bekerja sebagai peniaga untuk menyara keluarga," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!