PRU15: Kajian tak semesti tepat, semua ada peluang menang

Megat Zulkarnain (tiga dari kanan) pada sidang akhbar pemakluman Resolusi Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di sini pada Rabu.
Megat Zulkarnain (tiga dari kanan) pada sidang akhbar pemakluman Resolusi Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di sini pada Rabu.
A
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] "Semua pihak boleh membuat kajian namun keputusan yang tepat hanya akan diketahui pada 19 November 2022 selepas jam 6 petang," kata calon BN Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau berkata demikian mengulas kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang meramalkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (PH) akan menang dalam pertembungan lima penjuru di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, kajian melibatkan angka 2,000 responden atau 10,000 responden tidak mewakili pandangan semua pengundi.

"Tak apalah masing-masing boleh buat kajian tetapi 19 November malam atau 72 jam daripada sekarang adalah keputusan paling tepat.

"Semua ada peluang, kita serahkan kepada rakyat untuk buat keputusan dan biar rakyat yang putuskan, " katanya pada sidang akhbar pemakluman Resolusi Gombak di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di sini pada Rabu.

Pada Selasa, IDE meramalkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga penyandang kerusi Gombak untuk tiga penggal akan mengalami kekalahan kepada Amirudin.

Ia berdasarkan kajian dijalankan mendapati 52.5 peratus responden akan mengundi PH, PN (21.9 peratus) diikuti BN (13.8 peratus) serta pengundi atas pagar (11.6 peratus).

Megat Zulkarnain berkata, kejutan boleh berlaku seperti pada PRU14 lalu yang menyebabkan BN tewas di peringkat pusat.

"Kami ada pengalaman itu pada PRU14. Masa itu kami ingat Gombak boleh menang tetapi tiba-tiba kerajaan Persekutuan pun kita kalah.

"Kita belajar dari pengalaman itu. Mudah- mudahan kali ini PRU15 memihak kepada BN, " katanya.

Pada sidang akhbar itu beliau mengemukakan sebanyak 19 resolusi yang akan dibawa jika menang PRU15 antaranya penyediaan rumah mampu milik, rumah transit untuk pasangan baru berkahwin,isu perparitan dan banjir, penyelesaian masalah sampah serta pembinaan hospital di Gombak.

Pada perkembangan sama, Megat Zulkarnain memaklumkan pihaknya telah menerima emel daripada kesatuan pelajar Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berhasrat menjadi penganjur untuk Debat Gombak menghimpunkan semua calon PRU15 bagi Parlimen Gombak.

Menurutnya, walaupun tempoh semakin suntuk namun pihaknya menyatakan kesudian untuk turut serta dalam program itu.

"Saya setuju terima pelawaan tersebut. Saya hargai dan raikan aspirasi anak-anak muda ini kerana kita tahu mereka adalah pemimpin masa depan.

"Saya dimaklumkan calon-calon lain juga telah dihantar emel sama namun belum memberi maklum balas," katanya.

Ujar beliau, tarikh debat tersebut akan ditetapkan selepas semua calon memberikan jawapan jemputan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!