PRU15: 'Saya tak terfikir nak jadi PM' - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (dua dari kanan) berbincang sesuatu pada lawatannya ke BSN di sini pada Rabu.
Tengku Zafrul (dua dari kanan) berbincang sesuatu pada lawatannya ke BSN di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Calon BN Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri kerana tumpuannya pada masa ini hanyalah untuk membantu rakyat dan berkhidmat untuk negara.

Tengku Zafrul berkata, sebagai pemimpin yang baharu menyertai politik, fokus utama beliau ialah untuk memastikan kemenangan BN di Parlimen Kuala Selangor.

"Fokus (utama saya) tentulah untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau mempunyai cita-cita menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti selepas menyertai politik secara aktif dan menjadi calon BN.

Tengku Zafrul yang ditemui semasa lawatan beliau ke Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini pada Rabu memberitahu, soal sesiapa menawarkan untuk menjadi Perdana Menteri terpulang kepada individu terbabit.

"Bagi saya tidak terfikir pun soal jadi perdana menteri, sebaliknya fokus saya hanyalah untuk rakyat dan negara," ujar beliau.

Pada 9 November lalu, calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyuarakan hasrat memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu menjelaskan jawatan itu bukan menjadi hasratnya ketika ini kerana persetujuan sudah dicapai bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan sebagai kekandanya, akan menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi PRU15.

Artikel Berkaitan:



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!