PRU15: Abd Kadir akan terus tawar diri bertanding
RAMAI yang tertanya-tanya siapakah figura Datuk Abd Kadir Sainudin yang berani mencabar penyandang Parlimen Langkawi yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Selain parti-parti utama yang menampilkan calon terbaik masing-masing untuk merampas kerusi Langkawi daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), anak muda ini tampil sebagai calon bebas pada hari penamaan calon untuk turut memeriahkan persaingan.
Langkawi berdepan lima penjuru, selain Dr Mahathir dan Abd Kadir, kerusi berkenaan turut direbut Datuk Suhaimi Abdullah dari Perikatan Nasional (PN) yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah.
Dua lagi calon adalah dari Barisan Nasional (BN), Datuk Armishah Siraj dan Zabidi Yahya mewakili Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (Amanah).
Biarpun namanya kurang dikenali, Abd Kadir sekali lagi mempertaruhkan cubaan ketiga beliau selepas kali pertama bertanding dalam PRU13 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili dalam Parlimen Kota Tinggi, Johor.
Ketika itu, beliau bertanding atas tiket Pakatan Rakyat (PR) namun tewas kepada calon BN, Rasman Ithnain dengan majoriti 18,127 undi.
Dalam PRU14, beliau memutuskan bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Pekan, Pahang berdepan empat penjuru, yang dimenangi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak manakala Abd Kadir memperolehi undi terendah sebanyak 206 undi.
SINAR HARIAN: PRU15 merupakan kali ketiga Datuk bertanding. Kali pertama pada PRU13 mewakili Pakatan Rakyat (PR), namun pada PRU14 memilih bertanding sebagai calon bebas? Boleh kongsi kenapa menukar haluan dan mahu jadi calon bebas?
ABD KADIR: Kelebihan calon bebas adalah bebas berpolitik dan bebas memberi pandangan tanpa dipengaruhi sesiapa dalam parti. Kita boleh sampaikan suara rakyat tanpa perlu berbincang dengan ketua parti. Kali ini, calon bebas bertanding 108 kerusi, belum pernah berlaku dalam sejarah negara.
Kenapa memilih Parlimen Langkawi untuk ditandingi, sedangkan Datuk bukan anak tempatan Langkawi atau Kedah, dan disifatkan sebagai calon luar.
Negara mahupun negeri memerlukan pembaharuan termasuk Langkawi yang berdepan krisis penyusutan kemasukan pelancong selepas pasca Covid-19. Langkawi sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan dan ia memerlukan dasar dan polisi yang dinaik taraf oleh wakil rakyat secara berkesan, bukan sekadar retorik permainan politik semasa.
Penyandang Parlimen Langkawi sebelum ini berhadapan dengan isu besar negara menyebabkan fokus beliau selaku wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat tidak dapat disalurkan dengan sempurna. Jadi tidak timbul isu calon luar atau tidak, yang penting wakil rakyat yang dipilih dapat melaksanakan tugas mewakili suara rakyat yang memilih mereka.
Langkawi sebelum ini menawarkan prasarana pelancongan dunia yang menarik untuk jana ekonomi setempat, namun apabila wakil rakyat tidak memfokuskan kepada kepentingan Langkawi, bagaimana wakil rakyat itu dapat beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Pilih pemimpin yang memahami kehendak rakyat dan mengangkat idea baharu setanding negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia dalam membangunkan ekonomi Langkawi. Wakil rakyat yang dipilih pada PRU15 harus fokus di peringkat Parlimen dengan membawa masuk pelabur ke Langkawi dan melaksanakan agenda pembangunan pelancongan bagi memacu semula ideologi pengembangan ekonomi yang lebih baik.
Sebelum ini Datuk pernah bertanding di Parlimen Pekan bersaing dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, kali ini pula menentang Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi. Adakah Datuk memilih bersaing dengan tokoh ternama dengan tujuan sengaja memecahkan undi atau sekadar mahu menumpang populariti?
Itu bukan jawapan atau niat saya memilih untuk bertanding dengan pemimpin ternama negara. Jika anda mahu tahu jawapannya, kenalah pilih saya untuk menang dan anda akan dapat jawapannya kenapa saya memilih bertanding di Langkawi. Saya bukan sekadar bercakap kosong, tetapi saya bertindak berdasarkan situasi dan keperluan.
Ramai beranggapan calon bebas sukar untuk menang dalam PRU selain dikatakan sebagai ‘kacau daun’ apabila bertembung dengan calon heavyweight. Apa pandangan Datuk?
Sebagai orang Islam saya percaya dengan ketentuan ALLAH SWT dalam melaksanakan urusan dunia dan akhirat. Saya terpanggil untuk melaksanakan suara hati saya selain ingin tawarkan apa yang saya dapat berikan untuk kepentingan masyarakat jika saya menang.
Perundangan negara membenarkan hal tersebut jadi tidak timbul soal ‘kacau daun’ atau calon heavyweight. PRU15 tidak seperti PRU-PRU sebelum ini, apa pun boleh terjadi disebabkan oleh ketidaktentuan kepimpinan sedia ada, sama ada peringkat negeri mahupun Persekutuan.
Apa yang berlaku sekarang adalah kebangkitan pemahaman politik rakyat yang lebih matang. Kita haruslah berlapang dada, biarkan rakyat meraikan kemeriahan pilihan raya dan beri hak kepada calon yang layak mewakili mereka. Sebagai calon Parlimen Langkawi, saya bertanding dengan membawa amanah, tanggung jawab dan kesungguhan untuk bawa perubahan kepada rakyat Langkawi. Saya mahu mewakili mereka menyelesaikan masalah setempat daripada saya memainkan isu retorik atau propaganda tanpa tujuan yang jelas. Cukup-cukuplah dengan propaganda atau retorik murahan yang memundurkan pemikiran rakyat. Kita harus ke depan dan berlandaskan fakta.
Sekiranya Datuk menang di Parlimen Langkawi, apakah pembaharuan yang akan dilakukan atau fokus utama untuk tindakan segera?
Saya akan fokuskan kepada strategi menarik lebih ramai pelabur ke Langkawi untuk aktifkan kembali fungsi utama sebagai destinasi pelancongan dunia. Kaji semula dasar dan polisi sedia ada, belanjawan dan bekerja rapat dengan agensi kerajaan yang terlibat dalam merancang dan mencari idea bernas memajukan Langkawi.
Apa yang kita perlukan adalah perubahan dasar yang lebih agresif dalam membangunkan kitaran baharu ekonomi setempat, secara automatik memacu pertambahan kitaran dana/pendapatan. Aset di Langkawi harus dilestarikan secara bersasar dalam pembangunan terfokus tanpa menggadai kestabilan ekosistem. Kita mesti bawa pembaharuan kepada Langkawi untuk rancakkan semula kehadiran pelancong.
Saya ada beberapa idea untuk diketengahkan jika terpilih mewakili Langkawi. InsyaALLAH bawah kepimpinan saya, kita bawakan perubahan yang terancang dan sistematik, agar dapat menyumbang lebih banyak kutipan cukai kepada negeri. Rakyat pula dapat berkongsi rezeki menerusi pembangunan aset dalam menjana kitaran ekonomi lebih baik.
Sekiranya gagal meraih undi dalam PRU15, adakah Datuk berhasrat untuk tidak lagi bertanding pada PRU akan datang?
Insya-ALLAH tidak. Kenapa saya harus berhenti setakat ini, banyak yang harus diperjuangkan dan rakyat memerlukan pembelaan. Saya akan tawarkan khidmat selagi kudrat saya mampu.
BIODATA:
Nama: Datuk Abd Kadir Sainudin
Umur: 43 tahun (24-5-1979)
Kerjaya: Ahli Perniagaan
Syarikat: Ghaz Properties Sdn Bhd & Ehsan Auctioneers Consultant
Asal: Johor
Hobi: Bersukan (badminton)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!