Masih ramai anak muda tidak tahu kesan rasuah

Cikgu Zack Kirana
Cikgu Zack Kirana
A
A
A

SHAH ALAM - Anak muda dan golongan pelajar sebenarnya masih belum memahami sepenuhnya kesan rasuah kepada masyarakat serta negara sebaliknya menganggap ia sebagai satu kesalahan melibatkan individu pelaku semata-mata.

Pempengaruh media sosial, Cikgu Zack Kirana berkata, berdasarkan satu sesi pembelajaran yang dikendalikan olehnya di dalam kelas melibatkan pelajar Tingkatan Lima, hampir 50 peratus tidak tahu tentang kesan sebenar rasuah kepada masyarakat dan negara.

Katanya, kebanyakan pelajar menyatakan rasuah merupakan perbuatan memberi dan menerima duit secara salah tetapi tidak mengetahui secara mendalam betapa perbuatan keji itu boleh meruntuhkan negara serta mengakibatkan rakyat menderita.

Menurutnya, pelajar melihat rasuah sekadar kesalahan individu semata-mata kerana memakan duit secara haram tetapi gagal merungkai sebagai satu jenayah yang memberi kemudaratan besar.

"Agak mengejutkan apabila 50 peratus pelajar menyatakan rasuah sebagai kesalahan individu kerana memakan duit haram tetapi tidak tahu kesan langsung daripada perbuatan jenayah itu kepada masyarakat dan negara.

"Tetapi saya menjelaskan bahawa perbuatan rasuah bukan setakat makan duit tetapi boleh menjejaskan pembangunan negara apabila duit yang sepatutnya digunakan untuk tujuan tersebut telah dimakan oleh mereka yang tamak.

"Malah hasil daripada perbuatan tidak bermoral itu menyebabkan kualiti pembangunan yang dirancang pada awalnya akan terjejas kerana telah dirompak oleh mereka yang tidak mempunyai sifat amanah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'Kalau Tak Sekarang, Bila Lagi?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Pempengaruh media sosial, Cikgu Zack Kirana ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'Kalau Tak Sekarang, Bila Lagi?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Pempengaruh media sosial, Cikgu Zack Kirana ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'Kalau Tak Sekarang, Bila Lagi?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.



Rancangan itu dihoskan oleh Sam Ghani.

Zack Kirana berkata, anak muda termasuk pelajar sekolah seharusnya diberi penerangan jelas berhubung bahaya dan kesan rasuah kerana perkara itu penting dalam mendidik mereka menjadi seorang yang antirasuah.

Tegasnya, kumpulan belia perlu menyedari kepentingan memilih pemimpin yang bersih, berkredibiliti serta mempunyai integriti sangat kuat.

Jelasnya, ciri-ciri tersebut perlu ada kepada seorang pemimpin kerana mereka adalah individu yang memegang tampuk pemerintahan negara.

Menurutnya, menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin adalah satu amanah yang sangat besar dan perkara utama yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT.

"Sedih apabila ada pemimpin yang terlibat dengan rasuah. Menerusi jari kita, mereka diangkat sebagai pemimpin tetapi akhirnya melakukan amalan rasuah.

"Negara memerlukan duit untuk membangun. Malah negara juga memerlukan golongan pemimpin yang berjiwa bersih dan tidak gelap mata dengan wang untuk menguruskan negara dengan baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!