PRU15: Terengganu umum cuti 20 November
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan Ahad ini, 20 November sebagai Hari Kelepasan Am sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri bahawa 18 dan 19 November sebagai Hari Kelepasan Am seluruh negara bagi memudahkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab keluar mengundi pada Sabtu ini.
“Memandangkan Hari Kelepasan Am tersebut jatuh pada Hari Kelepasan Mingguan bagi negeri Terengganu iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu, maka Hari Kelepasan Am yang jatuh pada 19 November akan digantikan pada hari berikutnya iaitu Ahad, 20 November.
“Ia dijadikan sebagai Hari Kelepasan Am Negeri selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951,” katanya selepas menyempurnakan slot Town Hall Mahasiswa Terengganu 2022 di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini pada Rabu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada PRU15.
Selain pengumuman cuti, kerajaan turut mengumumkan tawaran tol percuma oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya pada hari sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!