PRU15: Duduki ujian RBTag bukti ikhlas berkhidmat untuk negara
SHAH ALAM - Tidak ada apa yang perlu ditakutkan untuk menduduki ujian psikometrik Rasuah Busters (RBTag) sebaliknya ia satu nilai tambah yang sangat baik kepada diri seorang calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja, Ahmad Ishak.
Menurutnya, ujian psikometrik RBTag merupakan satu mekanisme baik dalam menilai diri terhadap kecenderungan melakukan rasuah atau salah guna kuasa.
Beliau yang merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gopeng berkata, inisiatif mengambil ujian tersebut boleh diguna pakai bagi melihat di mana kekuatan dan kelemahan diri, seterusnya dapat memperbaiki kelemahan dan meningkatkan lagi keupayaan yang ada sekiranya dipilih sebagai pemimpin masyarakat.
Ujarnya lagi tidak ada apa-apa perkara yang hendak ditakutkan jika tidak terlibat dengan perbuatan rasuah atau salah guna kuasa.
"Malah dengan mengambil ujian ini, saya dapat menilai keupayaan diri selain ia menunjukkan saya sangat menyokong usaha-usaha murni memerangi perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.
"Jika mahu membersihkan amalan rasuah sepenuhnya, ia mungkin sukar tetapi tidak juga mustahil dilaksanakan. Meskipun begitu, tindakan proaktif mengawal dan memastikan rasuah tidak terus membarah adalah satu kewajipan yang perlu dilakukan serta disokong oleh semua pihak," katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad antara kumpulan calon bertanding pada PRU15 yang mengambil ujian psikometrik RBTag secara dalam talian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, perbuatan rasuah tidak boleh dibiarkan dan harus diperangi sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat.
Menurutnya, rasuah merupakan musuh nombor satu negara dan suatu yang menjijikkan kerana ia memberi kesan buruk mendalam kepada pembangunan serta ekonomi.
Oleh sebab itu katanya, usaha memberi kesedaran kepada orang ramai terutama anak muda adalah langkah terbaik menyekat rasuah daripada menjangkiti generasi muda.
Malah jelasnya, kumpulan pemimpin negara perlu menyokong usaha membanteras rasuah dan isu korupsi agar jenayah ini tidak menjejaskan hala tuju Malaysia menjadi negara cemerlang.
Sementara itu, calon Gerakan Tanah Air (GTA) di kerusi Parlimen Batu, Wan Azliana Wan Adnan berkata, RBTAg adalah satu bukti seseorang calon PRU15 ikhlas mahu berkhidmat membangunkan negara dan menabur bakti kepada masyarakat apabila tegas menolak rasuah.
Beliau yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanahair (GTA-Pejuang) berkata, rakyat pastinya dapat menilai sejauh mana kesungguhan calon menawarkan diri bertanding pada PRU15 demi menjaga kepentingan rakyat, bukannya mengejar kekayaan menerusi kerjaya politik.
Untuk itu katanya, semua calon bertanding di Parlimen Batu perlu mengambil ujian psikometrik RBTag bagi menyatakan keikhlasan menjadi pemimpin yang menolak rasuah dan menentang kezaliman ke atas rakyat.
"Ada 10 orang calon termasuk saya yang akan bertanding di Parlimen Batu dan ia merupakan satu pertembungan paling ramai calon pada PRU15.
"Maka untuk itu, saya syorkan mereka untuk mengambil ujian RBTag ini, sekali gus membolehkan pengundi di Parlimen Batu menilai sejauh mana keikhlasan menjadi pemimpin dan menolak amalan rasuah.
"Saya mendapat markah sebanyak 99.9 peratus untuk tidak cenderung mengamalkan rasuah dan menolak salah laku dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!