PRU15: Demi ALLAH saya tidak ambil duit kerajaan - Muhyiddin

MUHYIDDIN
MUHYIDDIN
A
A
A

PAGOH - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berani bersumpah dengan nama Allah bahawa tidak ada satu sen pun duit kerajaan disalahgunakan ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata, ketika menjadi Perdana Menteri, segala perbelanjaan wang kerajaan dibuat mengikut garis peratusan kewangan sedia ada.

“Wallahi, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat dan dibuat ikut peraturan kewangan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program bersama sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Bukit Pasir.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, bahawa dirinya akan disiasat berhubung dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu, jika gabungan itu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mencabar Adly atau pemimpin PH lain, menunjukkan bukti bahawa wujud salah laku kewangan kerajaan semasa beliau menjadi Perdana Menteri dalam menguruskan Covid-19 sebelum hari mengundi tanpa menunggu selepas PRU15 dan sedia disiasat pada bila-bila masa.

“Kalau dilihat kepada keseluruhan perbelanjaan memang besar, tapi semua dibuat ikut peraturan. Tak payah tunggu...siasat sekarang, tak payah tunggu selepas PRU.

"Saya tak rasa takut kerana semuanya diurus mengikut dasar perolehan, cara perbelanjaan bawah kontrak kewangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, yang penting, jika Adly mempunyai bukti kemukan sekarang.

"Ini biasalah pemimpin PH beritahu ada kes-kes, macam dibuat Rafizi Ramli, tapi bila dicabar apa buktinya.

"Ini nak ambil kesempatan kempen sebab mereka tahu kita (PN) sudah nampak sokongan makin meningkat, jadi cari jalan nak memburuk-burukkan, menyebarkan fitnah tak berasas,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut mempersoalkan mengapa hanya selepas dua tahun beliau menguruskan Covid-19 baru sekarang ia dibangkitkan dan tidak dilaporkan kepada SPRM.

“Jangan cakap lepas pilihan raya, ini pasal dia (Adly) bertanding di sana (Alor Gajah) dia nak menang, dia kata PN tak betul dan sudah rosak.

"Macam dia lah. Dia pun ada kes rasuah, parti dia ada kes rasuah, kami tak ada,” katanya.

Terdahulu, Adli dilaporkan berkata Muhyiddin akan disiasat berhubung dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu, sekiranya PH menang PRU15.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!