PRU15: Tambahan satu peti undi di 10 Parlimen, dua DUN
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengambil inisiatif menambah satu peti undi bagi 10 bahagian pilihan raya Parlimen dan dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, peti undi tambahan itu dilaksanakan bagi bahagian-bahagian pilihan raya yang mempertandingkan tujuh atau lebih calon.
Menurutnya, Parlimen terlibat adalah Alor Setar; Sungai Siput; Ampang; Bangi; Sungai Buloh; Kapar; Klang; Kota Raja; Sepang; dan Batu.
Manakala, Dun terlibat adalah Chenderiang, Perak dan Bugaya, Sabah.
"SPR ingin memaklumkan pelaksanaan penggunaan satu peti undi tambahan di bahagian-bahagian pilihan raya yang mempertandingkan tujuh atau lebih calon.
"Penambahan satu peti undi ini di setiap saluran adalah perlu setelah mengambil kira saiz kertas undi yang disediakan adalah lebih besar.
"Ia memerlukan ruang yang mencukupi untuk memuatkan semua kertas undi yang telah ditanda oleh pengundi pada hari mengundi kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pembuangan undi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditetapkan pada Sabtu ini bagi menentukan mandat 222 kerusi Parlimen seluruh negara.
PRU15 juga mencatatkan sejarah apabila seramai 945 calon disahkan layak bertanding iaitu jumlah calon teramai yang pernah direkodkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!