PRU15: Terengganu, Kelantan tunjang Pas
KUALA NERUS - Terengganu dan Kelantan yang menjadi tunjang kepada Pas membolehkan Perikatan Nasional (PN) memberi kebenaran penggunaan logo 'bulan' di kedua-dua negeri itu bagi mewakili PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persetujuan itu menjadi lebih mudah untuk PN mendapat sokongan berbanding menggunakan logo-logo lain.
Kelantan dan Terengganu ini tunjang kekuatan Pas yang ada di seluruh negara sebab bukan saja baru tapi sebelum ini pun saya tengok Kelantan dan Terengganu ini dua negeri yang banyak kali kita (Pas) menang.
“Sebab itu kekuatan kita di Kelantan dan Terengganu menjadi tulang belakang kepada kekuatan Pas dan PN menerima hakikat tersebut,” katanya kepada media selepas Program Sepetang Bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di pekarangan hadapan Pasar Batu Enam di sini, pada petang Rabu.
Tuan Ibrahim yang juga calon PN Parlimen Kubang Kerian turut menegaskan seluruh jentera perlu memastikan proses pengundian berjalan dengan baik supaya tidak berlaku sebarang kebocoran atau kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Dalam konteks pilihan raya, jaga kita punya Unit Daerah Mengundi (UDM), peti undi, dan saluran masing-masing, jangan ada yang bocor di saluran kita, jangan ada yang tewas di mana-mana UDM yang kita jaga. Selebihnya bertawakal kepada Allah kerana akhirnya ketentuan itu milik ALLAH.
“Kadang-kadang kita diuji dengan menang dan kalah tapi yang penting hendaklah terus istiqamah dalam perjuangan Islam,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, sambutan rakyat terhadap PN pada saat-saat akhir sangat baik dan akan meneruskan kempen sehingga tempoh berkempen berakhir.
“Melihat kepada ‘mood’ yang ditunjukkan pengundi ini, kita yakin (PRU15), PN akan mendapat kemenangan sehingga gelombang itu turut merebak di Perlis dan juga Pahang,” katanya yang juga calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!