Bomba selamatkan wanita warga emas mangsa banjir
KAJANG - Seorang wanita warga emas, diselamatkan anggota bomba dalam kejadian banjir di Taman Pasir Emas di sini, pada Khamis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2 pagi.
"Seramai tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang bergegas ke lokasi kejadian.
"Kita telah menyelamatkan seorang wanita warga emas yang menggunakan kerusi roda serta membawa dia ke kawasan selamat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Norazam berkata, kedalaman air kira-kira 0.3 meter, dianggarkan 170 buah rumah terjejas dengan banjir di kawasan itu.
"Keadaan hujan renyai dan trend air ketika ini menurun," katanya.
Dalam kes berasingan, Norazam berkata, pihaknya turut membantu memindahkan penghuni di 14 buah rumah di Kampung Sungai Pening, Semenyih susulan banjir di kawasan tersebut.
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 pagi, seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih telah pergi ke lokasi kejadian.
"Kita mendapati trend air naik sehingga paras lutut serta bertakung di atas jalan raya, namun keadaan masih terkawal," ujarnya.
Balai Bomba Klang, sekitar kawasan Bandar Klang dinaiki air
Perkongsian di laman Twitter oleh seorang pengguna memaparkan kawasan sekitar Balai Bomba dan Penyelamat Klang, Jalan Tengku Kelana turut dinaiki air.
Video berdurasi 16 saat itu memaparkan keadaan hujan lebat disusuli dengan banjir kilat di lokasi kejadian.
Video yang diambil menerusi sebuah kenderaan itu menunjukkan kenderaan tersebut melalui sekitar lokasi kejadian yang dinaiki air kilat kira-kira jam 1 pagi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis mengesahkan kejadian.
"Antara kawasan dikenal pasti Seri Muda, Bukit Lancong dan beberapa kawasan sekitar Klang seperti Bukit Sentosa, Kota Raja dan Andalas.
"Maklumat berkaitan akan dikemaskini dan dimaklumkan, pihak bomba kini berada di lokasi-lokasi terlibat," jawabnya ringkas ketika ditanya berhubung kejadian pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!