Manifesto BN tangani isu utama dihadapi rakyat
SHAH ALAM - Meskipun disifatkan agak sederhana, manifesto dikemukakan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat memberi penekanan menyeluruh terhadap isu utama dihadapi masyarakat Malaysia.
Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, gabungan itu dilihat mengambil pendekatan rasional dan realistik dalam menjanjikan tawaran kepada rakyat Malaysia.
“Manifesto BN bersifat sederhana dan realistik tapi kurang menjanjikan sesuatu yang bersifat terlalu melangit.
“Mereka tidak mahu apa yg berlaku kepada parti lain yang sebelum ini menjanjikan pelbagai bulan, bintang, langit dan sebagainya tetapi selepas pilihan raya, mereka tidak mampu laksanakannya,” katanya.
Antara isu penting yang disentuh menurut beliau adalah usaha untuk menangani masalah ketidakcukupan pendapatan isi rumah di Malaysia melalui cadangan Skim Bantuan Pendapatan Asas untuk membolehkan mereka menikmati pendapatan bulanan minimum RM2,208.
“Melalui bantuan asas gaji isi rumah tersebut, usaha membasmi masalah ketidakcukupan pendapatan atau kemiskinan tegar dapat ditangani.
“Ini memberikan impak besar kepada isu ketidakcukupan pendapatan seperti digariskan kerajaan.
"Saya ingat ini memberikan satu impak besar dalam konteks kesejahteraan hidup terutamanya dalam kalangan B40,” ujarnya.
Beliau berkata, isu utama lain turut dilihat disentuh manifesto tersebut adalah masalah akses terhadap pengajian tinggi melalui pengenalan sistem yuran yang anjal sehingga mampu mengurangkan hampir separuh kos ditanggung.
“Apabila mekanisme itu ditawarkan, ia mampu bukan sahaja menarik pelajar tetapi juga mengurangkan beban dari segi jumlah yuran yang tinggi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!