Pesawah gesa naikkan harga padi, kawal harga racun

Leusong (kiri) dan Nerin ketika ditemui selepas selesai bekerja di tanah sawah di Kampung Pinasang Tamu Darat, Kota Belud.
Leusong (kiri) dan Nerin ketika ditemui selepas selesai bekerja di tanah sawah di Kampung Pinasang Tamu Darat, Kota Belud.
A
A
A

KOTA BELUD - Berdepan kos operasi yang tinggi untuk menanam padi namun hasilnya yang tidak setimpal menyebabkan golongan pesawah di daerah ini merayu supaya kerajaan mempertimbangkan harga padi dinaikkan.

Harga padi yang dijual di kilang bernilai antara RM1 hingga RM1.30 bagi satu kilogram berbanding kos operasi penanaman makanan ruji itu yang mencecah sehingga lebih RM500 menyebabkan pesawah tersepit sama ada mahu meneruskan tanaman tradisi mereka atau sebaliknya.

Nerin Dulah, 63, berkata, kos operasi untuk menanam padi termasuk membajak tanah yang tinggi kadang-kadang tidak membawa pulangan yang menguntungkan kepada pengusaha tanaman padi.

"Kami petani ini mahu supaya kos 'radu' (bajak) tanah yang terlampau mahal iaitu RM350 satu ekar dapat diturunkan sebab kami pun tidak mampu kerana tiada pendapatan yang tetap hanya bergantung kepada hasil jualan padi saja.

"Harga padi yang dijual pula murah contohnya padi wangi RM1.30 sekilogram, padi biasa yang Vietnam (RM1.10) dan padi yang benihnya tidak berdaftar dengan pertanian RM1. Biasanya hasil untuk sekali tanaman hanya dalam RM500 saja," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Pinasang Tamu Darat, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Leusong Baya, 67, berharap kerajaan dapat mengawal harga racun untuk petani di daerah itu.

"Kami berharap harga racun juga dapat dikawal disesuaikan dengan harga padi yang dijual kerana banyak operasi lain kami perlu ambil kira seperti membajak tanah dan sebagainya.

"Walaupun petani mendapat subsidi tetapi pesawah tetap menampung separuh kos racun berkenaan dan harganya kini telah mencecah sehingga RM120 untuk sebotol racun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pesawah di kawasan berkenaan berharap kerajaan yang akan memerintah di masa akan datang dapat melihat keperluan petani yang mengusahakan padi di Kota Belud.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!